WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KAWALAN, PENGUATKUASAAN DI PINTU MASUK NEGARA LEBIH CEKAP, BERKESAN DENGAN MCBA - KDN

15/07/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan yakin penubuhan dan pengoperasian Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) di pintu masuk negara dapat memastikan ekosistem, fungsi pemeriksaan kawalan serta penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dengan penubuhan agensi berkenaan, ia dilihat mampu melancarkan urusan perjalanan keluar dan masuk negara termasuk proses import serta eksport di Malaysia.

Beliau berkata kewujudan agensi ini juga dilihat penting bukan sahaja kepada keselamatan awam, malah kepada ekonomi dan biosekuriti negara.

“Trend atau aliran pendekatan progresif untuk mewujudkan dan mempertanggungjawabkan pengurusan sempadan kepada sebuah entiti tunggal telah bermula seawal 2003 lagi oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat melalui  Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat, Australian Border Force (ABF)  dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

“Justeru, kerajaan pada hari ini telah mengambil tanggungjawab dan berusaha untuk memastikan inisiatif dan keputusan-keputusan yang telah diputuskan sejak tahun 2008 bagi menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan negara dapat direalisasikan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi membolehkan agensi yang telah ditubuhkan dan berkuat kuasa pada 1 Jan lepas mempunyai punca kuasa bagi melaksanakan fungsi dan tanggungjawab di pintu masuk negara, suatu rang undang-undang tubuh agensi perlu digubal dan dibentangkan.

Katanya secara keseluruhan rang undang-undang ini terbahagi kepada lima bahagian yang mengandungi 25 Fasal dan dua jadual.

Pada 9 Julai lepas, rang undang-undang itu dibacakan kali pertama antara lain bertujuan menjelaskan mengenai cadangan fungsi serta kuasa agensi itu yang berhubungan dengan kawalan dan perlindungan sempadan selain mengadakan peruntukan bagi perkara berkaitan.

Ia juga mencadangkan jika sesuatu kesalahan dilakukan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Negeri Sabah atau Sarawak, penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan kesalahan itu akan dilaksanakan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA


 

 

 

 

 

 

 

  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan