WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FORUM PERNIAGAAN PERTAMA MALAYSIA-BARAT LAUT CHINA BUKA PELUANG KERJASAMA, PERNIAGAAN

16/07/2024 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Forum Perniagaan Malaysia-Barat Laut China pertama yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (Pejabat MAYCHAM-Xi'an) memberikan isyarat kerjasama yang kukuh serta peluang perniagaan antara Malaysia dan China.

Ini dipacu oleh memorandum perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pejabat MAYCHAM-Xi'an serta Persatuan Ahli Perniagaan dan Industri Melayu Malaysia, Jawatankuasa Pentadbiran Jinghe New City Kawasan Baharu Xixian, Xi'an Tongxin Industrial Development Co Ltd, Xi'an MeiTai Marine Technology Co Ltd termasuk China National Chemical Urban Investment Co Ltd.

Forum tiga hari itu yang diadakan di Wilayah Shaanxi mulai 3 Julai, telah memperoleh penyertaan yang mantap daripada badan kerajaan serta korporat yang mewakili kedua-dua negara, seterusnya, memperkaya dialog mengenai perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.

Presiden Pejabat MAYCHAM-Xi'an Raymond Raman berkata kerjasama ini akan mengeratkan hubungan perdagangan Malaysia-China selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau.

“Ini menggariskan peranan forum yang tepat pada masanya dalam memupuk pertukaran yang bermakna dan saling menguntungkan antara kedua-dua negara semasa mereka meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka,” tambahnya lagi.

Menurut Pejabat MAYCHAM-Xi'an, pada 3 Julai lepas, forum itu telah dilancarkan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Jalan Sutera Xi'an Chanba, yang mana, ia telah menarik lebih 300 wakil dari badan kerajaan, agensi perdagangan dan pelaburan termasuk usahawan dari Malaysia dan Barat Laut China.

Perbincangan panel yang dibuat secara tematik menyentuh tentang pelbagai isu infrastruktur, tenaga, industri pembuatan dan makanan termasuk topik-topik seperti komoditi eksport, trend pasaran serta saluran perdagangan, prospek-prospek ini telah dikaitkan dalam sesi pemadanan perniagaan yang berpotensi bagi usaha sama masa hadapan.

Pada 4 Julai, Taman Industri Makanan Malaysia-China, hab makanan Malaysia khusus yang mempamerkan kopi, buah-buahan dan makanan laut telah dilancarkan di Jinghe New City, Kawasan Baharu Xixian, dengan pelaburan berjumlah satu bilion yuan (RM644 juta) meliputi kira-kira 2.67 hektar.

Diterajui oleh Raymond Raman, inisiatif utama ini bersedia untuk memacu inovasi, meningkatkan hubungan perdagangan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan memanfaatkan kepakaran makanan Malaysia serta lokasi dan sumber strategik China.

Semasa pelancaran, pakar-pakar membincangkan strategi untuk meningkatkan keselamatan makanan dan proses rantaian bekalan melalui usaha kolaboratif antara kedua-dua negara.

Pada hari terakhir forum itu, terdapat Persidangan Kerjasama dan Pertukaran China (Yulin)-Malaysia yang menyaksikan kedua-dua pihak bertukar sumber termasuk pengetahuan teknikal, ia melibatkan perbincangan menyeluruh meliputi potensi kerjasama dalam tenaga, pendidikan, pelancongan dan pertanian.

"Berbekalkan pemahaman yang lebih mendalam, persidangan ini diakhiri dengan pemeteraian MoU antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di Pejabat China-Xi'an serta Biro Kerjasama Luar dan Ekonomi Yulin yang membuka laluan baharu untuk perkongsian.

“Seperti yang dicerminkan melalui sokongan kuat daripada tokoh-tokoh kerajaan dan korporat utama, forum ini menandakan satu peristiwa penting dalam hubungan dua hala, memupuk pelbagai bentuk kerjasama serta peluang pertumbuhan baharu kepada perniagaan di Malaysia dan Barat Laut China,” kata dewan itu.

Raymond Raman berkata perkongsian yang diperkukuh antara Malaysia dan China ini dijangka bukan sahaja menghasilkan faedah ekonomi tetapi juga memperkayakan pertukaran budaya selain meletakkan asas ke arah masa depan yang berdaya tahan serta dinamik bagi kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan