WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RANG UNDANG-UNDANG KEBEBASAN MAKLUMAT DIJANGKA DIBENTANG AKHIR TAHUN INI - KULASEGARAN

16/07/2024 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dijangka dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini selepas cadangan ketetapan bagi penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan sesi libat urus di beberapa zon di seluruh negara melibatkan lebih 1,100 peserta dan wakil agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan, badan peguam dan ahli akademik.

"Seterusnya, BHEUU akan mengadakan libat urus di zon tengah pada akhir Ogos 2024 dengan anggaran penyertaan 500 orang. Tujuan libat urus adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai penetapan skop dan parameter, perundangan, pelaksanaan serta implikasi kos yang bakal terlibat," katanya.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai status penggubalan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dan jangkaan waktu rang undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Kulasegaran berkata kewujudan Akta Kebebasan Maklumat akan meningkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan memberi setiap individu peluang mengakses maklumat berkenaan mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerajaan melalui permohonan yang dikemukakan, kecuali maklumat tertentu seperti data peribadi dan maklumat yang boleh menggugat ketenteraman awam dan negara. 

Sementara itu, beliau berkata tiada bantahan daripada mana-mana bahagian kerajaan untuk penggubalan undang-undang terbabit kecuali di kebanyakan negeri yang mahu mengadakan peruntukan Akta Kebebasan Maklumat sendiri bagi mengawal hal-hal berkaitan negeri masing-masing. 

Selain itu, beliau berkata antara cadangan dalam perundangan itu ialah mewujudkan sebuah badan yang boleh dirujuk sekiranya bahagian atau kementerian memutuskan tidak membenarkan akses kepada sesuatu dokumen. 

Kulasegaran berkata ahli badan berkenaan terdiri daripada hakim besar bersara dan mereka yang berpengalaman bagi memastikan inisiatif kerajaan terhadap perundangan itu lebih terbuka dan baik untuk rakyat.

Pada 14 Sept 2023, Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip terhadap penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan