WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERANG BERLARUTAN ANTARA PUNCA KELEWATAN PENGHANTARAN BLACK HAWK

16/07/2024 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Peperangan berlarutan di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter jenis UH-60A Black Hawk, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pihak Aerotree Defence and Services Sdn Bhd iaitu syarikat yang dipertanggungjawabkan dalam kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.

“Proses kelulusan pihak pengawal selia Amerika Syarikat juga telah diperketatkan bagi pemodenan spesifikasi teknikal dan intergrasi sistem avionik ke atas pesawat Black Hawk UH-60A.

“Garis masa program kerja dan jangkaan penghantaran pesawat berkenaan ke Malaysia telah disemak semula dan diperbaharui pihak Slovak Training Academy dan semua yang terlibat berdasarkan kondisi rantaian bekalan terkini serta jangkaan masa kelulusan pihak pengawal selia Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai punca kegagalan syarikat Aerotree Defence and Services membekalkan UH-60A kepada Tentera Darat Malaysia mengikut waktu ditetapkan dan tindakan susulan kementerian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Adly berkata syarikat berkenaan dipertanggungjawabkan menghantar dua helikopter pada 30 Okt 2023 dan dua buah lagi pada 30 Dis 2023.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan memandang serius kelewatan itu kerana ia memberi impak terhadap pengoperasian helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) seperti yang digariskan dalam kontrak.

“Seterusnya, (jika) berlaku sebarang kelewatan dalam penghantaran helikopter ini, kerajaan telah mengambil langkah melalui kontrak ini, akan mengenakan denda lewat ke atas kelewatan yang disebabkan oleh syarikat.

“Namun demikian, sekiranya syarikat masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan, kementerian juga boleh membatalkan perolehan ini dan menender semula sebagaimana disyaratkan kontrak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan