WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMENTERIAN KOMUNIKASI UMUM PAKEJ RAHMAH PRABAYAR SISWA

16/07/2024 04:05 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak melebihi RM30, dengan minimum permulaan data sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semasa mengumumkan perkara itu berkata pakej tersebut, khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.

“Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES). 

“Tawaran pakej ini merupakan hasil perluasan Pakej Internet Mudah Alih (prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun lepas,” katanya ketika merasmikan Persidangan Komunikasi Beretika dan Bertanggungjawab Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM)di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata pakej yang ditawarkan itu, merupakan usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat, sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar semasa sesi pengajian dan pembelajaran.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai Pakej Rahmah Prabayar Siswa akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Fahmi berkata senarai lengkap IPTA dan ILKA yang terpilih akan dimaklumkan menerusi laman web Kementerian Komunikasi di www.komunikasi.gov.my.

Pada sidang media selepas itu Fahmi berkata Pakej Rahmah Prabayar Siswa itu boleh dilanggan oleh semua pelajar di IPTA dan ILKA.

“Kita akan mulakan (inisiatif ini) untuk semua pelajar IPTA dan ILKA dahulu, dan kemudian kita akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk menyebar luaskan pakej itu.

“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, kerajaan tak buat apa-apa bayaran tetapi syarikat telekomunikasi cukup baik hati untuk mengurangkan caj (untuk mahasiswa),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan