WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIMBALAN SPEAKER DEWAN RAKYAT BUAT LAPORAN POLIS, HASUTAN, FITNAH , DI TIKTOK

16/07/2024 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor hari ini membuat laporan polis berikutan hantaran kononnya berbaur hasutan dan memfitnah beliau di laman TikTok.

Ramli, yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata laporan dibuat di Balai Polis Sentul di sini selepas mendapati hantaran pemilik akaun @apong606 itu sangat tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. 

"Kenyataan ini memalukan serta menjatuhkan maruah saya sebagai satu-satunya Ahli Parlimen mewakili masyarakat Orang Asli.

"Laporan polis dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu secara sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(C) dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini. 

Ramli berkata beliau juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membabitkan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan rangkaian untuk menghantar apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu. 

Beliau berkata hantaran itu dipercayai dibuat susulan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan tindakan Ramli melakukan sesi libat urus bagi cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954.

Selain itu, Ramli juga mempertimbang untuk memfailkan saman sivil dengan tuntutan bernilai sekurang-kurangnya RM1 juta, selain pemilik akaun itu perlu membuat permohonan maaf secara terbuka selepas siasatan selesai.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan berbaur fitnah dan hasutan itu.

Ramli turut mengingatkan orang ramai terutama masyarakat Orang Asli supaya tidak menyebarkan sebarang fitnah melalui platform media sosial masing-masing jika ia tidak tepat mahupun sahih.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan