WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KASTAM SERBU LOKASI PEMPROSESAN KETUM, RAMPAS PELBAGAI BARANGAN BERNILAI RM100,000

16/07/2024 10:18 PM

MACHANG, 16 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Kelantan melumpuhkan sindiket pemprosesan dan penjualan air ketum dipercayai terbesar di negeri itu, dalam serbuan di sebuah kawasan hutan berbukit di Kampung Pek, di sini hari ini.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata dalam serbuan pada 1.30 tengah hari itu, pihaknya kastam merampas 500 kilogram daun ketum, 10 periuk besar berisi daun, air ketum, lima buah motosikal dan pelbagai lagi peralatan yang dianggarkan bernilai RM100,000.

Beliau berkata dalam serbuan ini tiada tangkapan dilakukan, kerana anggota sindiket dipercayai dapat mengesan kehadiran anggota kastam kerana lokasi itu terletak di atas bukit di dalam kebun durian.

“Apabila tiba di lokasi pertama, anggota kastam menemukan buku rekod jualan dan peti ais berisi air ketum yang sudah dipaket. Selepas membuat pemeriksaan lanjut kita menemukan pula lokasi pemprosesan daun ketum kira-kira 100 meter.

“Kastam menemukan 10 periuk besar yang masih panas dan berisi daun ketum yang sedang direbus ditinggalkan secara tergesa-gesa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Wan Jamal berkata di kawasan itu juga yang terletak di tepi anak sungai, ditemukan lambakan bungkusan daun ketum di bawah khemah dianggarkan sebanyak 500 kilogram.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati sindiket itu memperolehi daun ketum dari negeri Utara Semenanjung dan dipunggah menggunakan motosikal ke dalam hutan berkenaan.

“Berdasarkan catatan pada buku rekod jualan yang ditemukan, sindiket tersebut dipercayai beroperasi pada awal Januari dengan jualan bulan pertama hanya RM100 sahaja dalam sehari, namun rekod selanjutnya mendapati mereka berjaya menjual air ketum dengan hasil mencecah RM5,000 sehari,” katanya.

Wan Jamal berkata dipercayai air ketum yang dirampas itu untuk pasaran tempatan, terutamanya kepada pekerja-pekerja kontrak di sekitar Machang dan Kuala Krai.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai didalangi antara 10 hingga 15 penduduk tempatan, kerana mereka tahu selok belok kawasan dan pihak kastam akan cuba mengesan pihak terlibat dengan bantuan penduduk kampung berdekatan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan