WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK: PILIH CALON BAWA PEMBANGUNAN, MAJUKAN NENGGIRI - AHMAD MASLAN

16/07/2024 09:25 PM

KOTA BHARU, 16 Julai (Bernama) -- UMNO berharap pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini dapat memilih calon yang mampu membawa pembangunan bagi memajukan kawasan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemilihan Ahli DUN yang disokong oleh kerajaan pusat dilihat lebih mudah membawa pembangunan sekali gus memajukan kawasan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga berharap kesilapan masyarakat memilih calon yang kemudian membuat pusingan U diambil sebagai pengajaran dan pengundi memilih calon yang betul-betul menyokong kerajaan pusat.

“Seperti yang kita tahu, KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), Jabatan Kemajuan Orang Asli serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah merupakan agensi kerajaan pusat yang memainkan peranan penting dalam pembangunan termasuk di Nenggiri.

“Nenggiri ada sembilan kampung, sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM), lima PDM membabitkan Orang Asli, lima PDM KESEDAR serta satu PDM Felda dan kita harap mereka memilih calon dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan kali ke-47 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata setakat ini UMNO mempunyai tiga nama calon yang akan dipertanding pada PRK Nenggiri dan ia akan diumum oleh Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lama lagi.

"Saya berharap pengundi di Nenggiri memilih calon yang layak iaitu calon yang pembangunannya akan dapat diteruskan oleh kerajaan pusat. 

“Alangkah baiknya kalau kita menang di Nenggiri pada 17 Ogos, ia akan menjadi berita gembira di Perhimpunan Agung UMNO pada 18 Ogos,” katanya.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan