WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PASTIKAN PENGGUNAAN ELEKTRIK, AIR EFEKTIF SEIRING PENINGKATAN PUSAT DATA - LIEW

17/07/2024 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan memastikan penggunaan bekalan elektrik dan air secara efektif yang seiring dengan peningkatan pelaburan pusat data ke negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata usaha berkenaan bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik dan air dikawal dan digunakan secara efektif. 

Menurutnya mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) pada Jun bersetuju dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa penambahbaikan dasar penerimaan pelaburan pusat data harus dilakukan berasaskan beberapa faktor.

“Antaranya adalah menyediakan garis panduan bagi Keberkesanan Penggunaan Kuasa (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) serta penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi memudah cara pelaburan pusat data kecerdasan buatan (AI) di negara kita.

“Mesyuarat itu juga mengarahkan MITI dan MIDA untuk mewujudkan program vendor tempatan bagi membangunkan ekosistem digital secara keseluruhan,” katanya pada sesi soal jawab. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai usaha yang diambil MITI dan agensi berkaitan untuk mengawal selia pelaburan pusat data. 

Liew berkata pelaburan AI di negara ini dalam trend positif dengan adanya komitmen pelaburan syarikat teknologi gergasi global seperti Amazon Web Services, Nvidia, Microsoft dan Google. 

“Melalui pelaburan berkaitan AI, MITI dan kerajaan bermatlamat untuk membangunkan ekosistem ekonomi digital yang menyeluruh dan menggalakkan penggunaan teknologi AI dalam pelbagai bidang termasuk industri pembuatan pintar,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan