WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKATAN UNILATERAL AS TIDAK JEJAS NILAI KESELURUHAN EKSPORT NEGARA - MITI

17/07/2024 11:06 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sekatan unilateral yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap lima syarikat di Malaysia tidak menjejaskan nilai keseluruhan eksport negara, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu, kementerian itu berkata implikasi sekatan itu adalah berbentuk individu iaitu antara lain, syarikat terlibat kehilangan akses terhadap sistem kewangan, perdagangan dan perkhidmatan yang mempunyai pangkalan operasi di AS.

"Tiada satu pun syarikat perdagangan tersebut berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk sebarang lesen pembuatan atau insentif. Ini bermakna mereka semua adalah peniaga dan bukan pengilang," kata kementerian itu.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta MITI menyenaraikan syarikat-syarikat Malaysia yang dikenakan sekatan unilateral dan kesannya terhadap eksport negara. 

Lima syarikat yang dikenakan sekata sejak Disember 2023 adalah Skyline Advanced Technologies Sdn Bhd, Nava Hobbies Sdn Bhd, Integrated Scientific Microwave Technology Sdn Bhd, Arta Wave Sdn Bhd dan Jatronics Sdn Bhd.

Jelasnya, kelima-lima buah syarikat tersebut disyaki atau dituduh menjalankan aktiviti jual beli dan membekalkan barangan antaranya memudahkan pemindahan bahan, komponen dan teknologi strategik bagi program senjata Iran atau kepada angkatan bersenjata Rusia.

Sementara itu, menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status siasatan terhadap Jatronics dan apakah tindakan susulan kerajaan, kementerian berkata ia telah berhubung dan berjumpa dengan pengarah syarikat tersebut untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku. 

"Jatronics memaklumkan bahawa kebanyakan aktiviti pengeksportan mereka melibatkan eksport barangan litar bersepadu terutamanya ke Rusia," katanya.

Menurutnya, MITI sentiasa berhubung dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekatan unilateral tersebut dan pada masa yang sama mengadakan satu sesi perkongsian maklumat mengenai tatacara menyahsenarai syarikat daripada sekatan berkaitan dengan sebuah firma guaman Amerika Syarikat (secara pro-bono).

Dalam pada itu, MITI turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan pandangan lanjut berkaitan implikasi perkhidmatan kewangan kepada syarikat yang disekat secara unilateral.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan