WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RM468.7 JUTA DIPERUNTUK LAKSANA PROJEK PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DI LAPAN DAERAH DI SABAH

17/07/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM468.7 juta diperuntuk tahun ini untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur di lapan daerah di Sabah yang dikategorikan sebagai termiskin dalam negara, dalam usaha antaranya bagi membasmi kemiskinan tegar.

 Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata peruntukan terbabit khusus bagi memastikan jurang infrastruktur di daerah terlibat iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu dapat dirapatkan lebih cepat, seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi. 

“Selain itu, Sabah juga negeri penerima tertinggi dari segi peruntukan projek kecil di bawah RM200,000 menerusi Inisiatif Kemudahan Rakyat yang dikendalikan Kementerian Ekonomi, hampir 40 peratus daripada keseluruhan projek kecil ini memang ditumpukan kepada Sabah.

“Di bawah Kementerian Ekonomi sudah tentu kita telah lancarkan dan sedang berjalan sekarang, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) melibatkan pembukaan ladang-ladang pertanian moden di Kota Marudu, Keningau dan Kinabatangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu langkah-langkah menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah terutama di lapan daerah yang dikategorikan termiskin di Malaysia.

Rafizi berkata selain pembinaan infrastruktur bagi mempergiat aktiviti ekonomi, kementerian juga memastikan keluarga miskin di Sabah dalam kategori miskin tegar diberi tumpuan tambahan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pindahan tunai lain.

Beliau berkata projek-projek IPR dan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) juga ditambah di negeri itu bagi menjamin pendapatan bulanan RM2,000 bagi isi rumah dan membawa limpahan ekonomi setempat.

Sementara itu, Rafizi turut memaklumkan kemiskinan tegar tertinggi yang direkodkan mengikut daerah termiskin di Sabah ialah Tongod dengan meliputi 5.9 peratus, Beluran (5 peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (4 peratus), Tuaran (2.6 peratus), Ranau (2.4 peratus) dan Lahad Datu (2.4 peratus).

“Bilangan isi rumah yang berada di bawah kategori miskin tegar di Sabah meliputi 38 peratus daripada keseluruhan bilangan isi rumah di seluruh Malaysia iaitu daripada 18,445 isi rumah. Sebenarnya, (sebanyak) 6,937 (isi rumah miskin tegar) adalah di Sabah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Bung Moktar berkaitan bagaimana ukuran kemiskinan di Sabah dilaksanakan, Rafizi berkata kaedah survei dijalankan mengikut piawai antarabangsa dengan melihat kepada belanja minimum yang diperlukan untuk memenuhi kehendak kalori makanan dan keperluan asas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan