WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SITI NUR AMINAH BERSINAR DI AJBC 2024

18/07/2024 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Siti Nur Aminah Abdullah, bintang berusia 13 tahun yang sedang meningkat naik, mencipta gelombang dalam dunia badminton, mengikut jejak langkah ibu saudaranya, pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman di Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) 2024.

Berasal daripada keluarga yang mengemari sukan itu, Siti Nur Aminah berkata minatnya terhadap badminton dipupuk oleh datuknya Azman Amar dan bapanya Abdullah Mohamad.

"Badminton atau tiada apa-apa lagi bagi saya kerana permainan ini adalah sebahagian daripada keluarga saya. Dengan Siti Nurshuhaini mencipta nama, saya mahu mengikut jejaknya," kata pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 di Rawang itu menerusi kenyataan hari ini.

Siti Nur Aminah baru-baru ini merangkul kejayaan pada pusingan kelayakan ke-4 AJBC 2024 apabila memenangi kategori perseorangan dan beregu perempuan bawah 13 tahun (B-13) bersama pasangannya Adiq Puteri Waheeda dari Sekolah Kebangsaan Sungai Choh di Kuala Lumpur.

Pemenang lain yang menjadi perhatian pada pusingan kelayakan AJBC 2024 Kuala Lumpur termasuk Kiera Wong dari SMK Bandar Puchong Jaya (B) yang memenangi kategori perseorangan dan beregu perempuan bawah 15 tahun, manakala Derrick Leung dari Sekolah Menengah Kepong Baru mengungguli kategori perseorangan dan beregu lelaki B-13.

Pusingan akhir AJBC yang menampilkan finalis dari kategori B-13 dan B-15 akan diadakan di Stadium Juara Bukit Kiara dari 20 hingga 25 Nov dengan setiap pusingan kelayakan menyaksikan 24 pemain mara ke peringkat akhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan