WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS JUMPA BEG TANGAN DIPERCAYAI MILIK NUR FARAH KARTINI

18/07/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR 18 Julai (Bernama) -- Beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah ditemukan dalam operasi pencarian bahan bukti yang dijalankan di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan bahan bukti tersebut.

"Ya. Beg wanita yang ditemui itu dipercayai kepunyaan mangsa," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan usaha mencari baki bahan bukti dijalankan berdekatan Sungai Trolak, Perak.

Lokasi tersebut terletak kira-kira 20 minit daripada ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.

Pencarian bahan bukti di sebuah parit di ladang kelapa sawit itu sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 6 petang pada Isnin, selepas bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan petang tadi di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan