WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Stidc Sasar Jadi Entiti Mesra Alam, Sokong Agenda Hijau Kerajaan Sarawak

19/07/2024 06:59 PM

KUCHING, 19 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Perusahaan Industri Kayu Sarawak (STIDC) menyasarkan untuk menjadi entiti mesra alam selaras dengan pemacu kerajaan negeri ke arah pembangunan hijau, kelestarian alam sekitar dan penyimpanan karbon.

STIDC dalam satu kenyataan hari ini berkata komitmen tersebut boleh dicapai melalui pelbagai inisiatif seperti aktiviti penanaman pokok dan pembangunan industri berasaskan buluh di Sarawak.

“Kami juga giat mempromosikan penggunaan kayu kejuruteraan untuk komponen pembinaan perumahan dan bangunan di Sarawak, menyokong agenda hijau kerajaan Sarawak.

“Selain itu menerusi anak syarikat dan syarikat bersekutu kami, STIDC menggunakan sisa kilang dan hutan untuk menghasilkan produk bernilai tambah tinggi seperti papan gentian, pelet kayu dan serpihan kayu,” kata STIDC.

Pada 2022, memorandum persefahaman telah ditandatangani antara anak syarikat STIDC, Green Pellet (Sarawak) Sdn Bhd dan Kanematsu Corporation yang berpangkalan di Jepun untuk membekalkan pelet kayu ke pasaran Jepun.

Green Pellet menghasilkan pelet kayu mesra alam daripada sisa kayu dan kayu yang diperoleh daripada hutan untuk memenuhi keperluan bahan api industri.

Selain usaha tersebut, STIDC juga menerajui penggunaan pokok getah matang dan buluh sebagai sumber alternatif bahan mentah untuk menambah kayu, mengurangkan pergantungan kepada sumber daripada hutan semula jadi.

Dalam pada itu, pada 2023, STIDC menganjurkan Jerayawara Program Kesedaran Pembangunan Industri Buluh Sarawak untuk menjelaskan mengenai potensi buluh sebagai sumber kayu alternatif dan menggalakkan penglibatan masyarakat dan sektor swasta dalam penanaman buluh.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan