WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MENTERI BESAR, KETUA MENTERI SEMBAH TAHNIAH KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

20/07/2024 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri turut merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan yang berlangsung hari ini. 

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang merafak sembah tahniah menerusi ucapan dimuat naik di akaun Facebook juga mendoakan Malaysia akan terus berkembang di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-17. 

"Semoga pemerintahan Tuanku akan sentiasa diiringi keberkatan dan maghfirah-Nya serta mudah-mudahan Malaysia akan terus berkembang maju dan makmur. InsyaAllah," katanya. 

Turut merafak sembah tahniah ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dengan semua mereka mendoakan semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Yang di-Pertuan Agong. 

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli juga tidak ketinggalan merafak sembah tahniah menerusi hantaran di akaun media sosial rasmi mereka. 

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada hantaran merafak sembahnya turut mendoakan negara terus berkembang maju dan makmur serta rakyat bersatu padu dalam keharmonian di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong. 

"Patik dan seluruh rakyat Kelantan mendoakan agar Tuanku sentiasa diberkati dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kebijaksanaan dalam memimpin negara. Semoga pemerintahan Tuanku terus membawa kepada kesejahteraan dan kemajuan," katanya. 

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri Istana Negara hari ini, dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan