WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENDUDUK HARAP SULTAN IBRAHIM, RAJA ZARITH SOFIAH SUDI MENCEMAR DULI MELAWAT KIULU, SABAH

20/07/2024 04:18 PM

TUARAN, 20 Julai (Bernama) -- Penduduk di daerah kecil Kiulu menzahirkan harapan agar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sudi mencemar duli melawat kampung-kampung di sini bagi merasai sendiri keindahan alam semula jadi serta budaya etnik Dusun.

Penolong Pegawai Daerah Kiulu Leprus Esuvas Giswa berkata penduduk berasa amat dekat dengan Sultan Ibrahim dan bangga menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 itu maka sudah tentu keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua amat dialu-alukan bak kata pepatah 'kecil tapak tangan, nyiru patik tadahkan.'

Beliau berkata Kiulu amat dikenali sebagai lokasi tarikan pelancong di tanah tinggi selain kawasan yang sesuai untuk aktiviti rakit, sistem pemuliharaan ikan sungai tradisi Tagal dan penduduk yang ramah mesra sedia menanti kunjungan Seri Paduka Baginda berdua juga pelancong luar.

"Selain warisan dan budaya kami, Seri Paduka Baginda berdua boleh merasa pelbagai makanan tradisi seperti Tuhau (makanan daripada halia liar) dan Bosou (sejenis jeruk ikan sungai). Saya percaya ini boleh merapatkan hubungan Seri Paduka Baginda berdua dengan kami di sini.

"Bagi pihak penduduk Kiulu, patik ucapkan tahniah kepada Sultan Ibrahim atas pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Patik bersama rakyat di sini sentiasa mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda berdua. Daulat Tuanku," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama puluhan penduduk Kampung Bungalio yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Kota Kinabalu menyaksikan istiadat pertabalan itu menerusi wayang pacak pada Program Jiwa Komuniti MADANI anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kiulu Gulubi Guntarik pula berkata Kiulu memiliki lebih 70 lokasi tarikan pelancongan yang menampilkan keindahan alam semula jadi dan warisan seni budaya.

Beliau berkata Kiulu juga mempunyai 24 Tagal yang memperlihatkan sistem simbiosis diwarisi sejak beberapa generasi bagi membekalkan ikan sebagai sumber makanan kepada penduduk selain memastikan kemampanan ikan sungai di kawasan itu.

"Kami sedia memperlihatkan keunikan kampung kami untuk Seri Paduka Baginda berdua merasainya dan mengenali kami dengan lebih dekat lagi," katanya.

Bagi Nurain Sumpan, 60, beliau bersama penduduk Kampung Bungalio mengetahui tentang keperibadian Sultan Ibrahim yang berjiwa rakyat dan amat prihatin dengan nasib mereka serta kesudian Seri Paduka Baginda menyantuni rakyat secara santai, antaranya melalui Kembara Mahkota Johor, menerusi laporan media.

"Terlalu banyak jasa Sultan Ibrahim kepada rakyat di Johor sebelum ini, jadi saya dan penduduk sini betul-betul percaya Seri Paduka Baginda akan terus menaungi kita di seluruh negara termasuk kita di Sabah ini. Marilah Tuanku berangkat ke Kiulu, patik semua rakyat sedia menyambut," katanya.

Sementara itu di PUTATAN, Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya menyertai 240 penduduk di Taman Sri Serigai di sini menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim melalui wayang pacak pada program anjuran Jabatan Penerangan Negeri.

Beliau berkata Program Jiwa Komuniti MADANI adalah bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai acara bersejarah itu yang berlangsung setiap lima tahun.

"Walaupun siaran secara langsung boleh ditonton di rumah tetapi dengan adanya program seperti ini, kita dapat menonton bersama dan mungkin boleh bertukar fikiran mengenai adat istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

"Ini sudah tentu menaikkan semangat dan memberi pengalaman baik kepada masyarakat yang menghadiri program hari ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan