WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEE YAKIN HUBUNGAN SINGAPURA-MALAYSIA AKAN BERKEMBANG MAJU DI BAWAH NAUNGAN SULTAN IBRAHIM

20/07/2024 09:04 PM

SINGAPURA, 20 Julai (Bernama) -- Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong yakin hubungan Singapura dan Malaysia akan terus berkembang maju di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

Berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Sabtu, Lee mendoakan yang terbaik untuk Seri Paduka Baginda dalam peranan baharu ini.

“Berbesar hati untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim. Sultan Ibrahim dan saya adalah sahabat lama yang telah saling mengenali sekian lama,” catatnya di Facebook, pada Sabtu.

Lee yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura selama hampir 20 tahun, berkata kali terakhir mereka bertemu pada Mei, ketika Sultan Ibrahim datang ke Singapura dalam lawatan negara pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

“Seri Paduka Baginda dengan baik hati memanjangkan jemputan kepada saya ketika itu,” tambahnya. Lee ditemani isterinya, Ho Ching.

Pejabat Perdana Menteri Singapura (PMO) dalam satu kenyataan pada Khamis, berkata Lee adalah antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang dijemput oleh Seri Paduka Baginda untuk menghadiri istiadat pertabalan berkenaan.

Lee juga dijadualkan menghadiri Santapan Diraja pada malam Sabtu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan