WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERDAGANGAN KEMBOJA DENGAN ASEAN MENINGKAT 11.6 PERATUS SEPARUH PERTAMA 2024

20/07/2024 08:35 PM

PHNOM PENH, 20 Julai (Bernama-Xinhua) -- Perdagangan Kemboja dengan negara anggota ASEAN mencecah US$7.96 bilion pada separuh pertama 2024, meningkat 11.6 peratus daripada US$7.13 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, menurut laporan Kementerian Perdagangan pada Sabtu.

Menurut laporan itu, kerajaan Kemboja mengeksport produk bernilai US$2.68 bilion ke negara ASEAN lain dalam tempoh Januari-Jun tahun ini, meningkat lapan peratus daripada US$2.48 bilion dalam tempoh sama 2023.

Sementara itu, import negara dari negara ASEAN bernilai US$5.28 bilion, meningkat 13.5 peratus daripada US$4.65 bilion.

Laporan itu menyatakan bahawa jumlah perdagangan Kemboja dengan ASEAN menyumbang 30.2 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan US$26.3 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Lima rakan dagang utama negara dalam ASEAN ialah Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia.

ASEAN adalah kumpulan serantau yang terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berkata negara itu berdiri sebagai rakan kongsi yang dinamik dalam kalangan negara ASEAN.

"Keahlian strategik Kemboja dalam perjanjian perdagangan utama serantau dan global, termasuk ASEAN dan Pertubuhan Perdagangan Dunia, meletakkannya sebagai pemain yang sangat berintegrasi dalam pasaran global yang dinamik," katanya dalam ucapan baru-baru ini.

Beliau berkata produk buatan Kemboja, termasuk pakaian dan basikal, kini diiktiraf di ASEAN dan seluruh dunia untuk kualiti dan harga yang kompetitif.

Setiausaha Negara dan Jurucakap Kementerian Perdagangan Kemboja Penn Sovicheat berkata negara itu telah menyaksikan peningkatan dalam eksport pakaian dan tekstil, panel solar, elektronik dan produk pertanian ke ASEAN pada separuh pertama tahun ini.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan