WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MISI SERAMPANG DUA MATA PKM DI KUSEA 2024

20/07/2024 07:26 PM

KAJANG, 20 Julai (Bernama) -- Penganjuran kejohanan Kurash Asia Tenggara (KUSEA) bukan sahaja sebagai platform mencungkil bakat muda negara tetapi juga diharap dapat meningkatkan populariti sukan itu dalam negara.

Presiden PKM Chew Eng Kian menyifatkan Malaysia bertuah apabila diberikan mandat oleh Persatuan Kurash Antarabangsa untuk menjadi tuan rumah pertama kejohanan berkenaan yang mendapat sambutan daripada enam negara.

Selain tuan rumah Malaysia, turut mengambil bahagian Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia membabitkan 150 peserta yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu senior, belia, kanak-kanak dan budak.

“Kita tiada pengalaman anjur kejohanan (tapi) dapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Perbandaran Kajang, Metro Point Complex dan ibu bapa.

“(Setakat ini) Johor, Terengganu Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sudah daftar (kepada pihak berkepentingan di negeri masing-masing) untuk adakan sukan kurash di negeri mereka manakala Selangor memang sudah ada,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Kejohanan KUSEA 2024 di Metro Point Complex di sini hari ini. 

Kurash ialah sejenis gusti jaket yang berasal dari Uzbekistan dan dimainkan oleh dua orang yang masing-masing memakai jaket hijau dan biru.

Objektif permainan berkenaan ialah untuk melemparkan lawan anda ke tanah dan jika dilemparkan ke belakang kemenangan diisytiharkan, selain mata akan diberikan jika dilemparkan ke tepi namun jika dibaling ke perut markah lebih rendah akan diberikan.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan