WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SYARIKAT PENERBANGAN RUGI JUTAAN, INDUSTRI TUNTUT PENJELASAN - TONY FERNANDES

20/07/2024 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Gangguan IT global yang mencetuskan kegagalan sistem serta huru-hara dalam urusan orang ramai telah menyebabkan banyak syarikat penerbangan kehilangan pendapatan mencecah jutaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes. 

Fernandes menerima permohonan maaf CrowdStrike tetapi menekankan bahawa syarikat penerbangan masih menunggu penjelasan daripada Microsoft mengenai insiden itu.

“Syarikat-syarikat teknologi tidak memiliki empati. Semasa kami berhadapan dengan COVID-19, mereka tidak bertimbang rasa. Sekarang mereka mempunyai masalah dan mengharapkan kami perlu faham. Syarikat penerbangan memerlukan jawapan dan ganti rugi,” katanya dalam catatan LinkedIn hari ini.

CrowdStrike Holdings Inc, sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas, menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Berdasarkan huru-hara yang terjadi semalam, Fernandes menekankan kepentingan untuk belajar dan berkembang daripada situasi tersebut.

Beliau ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai gangguan itu berkata keadaan nampaknya telah stabil pada hari kedua gangguan IT global yang merencatkan operasi AirAsia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Tetapi kami tidak leka. Kami bersedia untuk sebarang gangguan selanjutnya,” katanya.

Syarikat penerbangan itu telah menguruskan operasi secara manual, bermula daripada daftar masuk, mencetak pas kemasukan sehingga kepada penghantaran bagasi, dengan lebih 100 sukarelawan Allstar membantu di lapangan.

 “Ini mengingatkan saya pada zaman awal kami 23 tahun lepas apabila semuanya dilakukan secara manual. Kami berbangga kerana kami telah meminimumkan pembatalan penerbangan disebabkan ketangkasan kami untuk beralih kepada operasi manual dan komitmen ikhlas kami bagi berkhidmat kepada rakyat,” tambahnya lagi.

Walaupun terdapat beberapa kelewatan, Fernandes memberi jaminan bahawa AirAsia berazam untuk menerbangkan semua orang dengan selamat ke destinasi mereka.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu kami yang telah bersabar dan menghargai usaha kami sepanjang ujian ini,” katanya.

AirAsia meneruskan operasi daftar masuk dalam taliannya pada 2 petang hari ini, berikutan masalah IT global yang bermula petang semalam.

Menjawab catatan Fernandes, pelawat di platform sosial berkenaan, Muhammad Rafay Ahmed Khan mengulas, “Baru sahaja menghantar isteri dan anak saya di KLIA 2, semuanya kelihatan kembali normal sekarang. Perkhidmatan yang hebat oleh AirAsia, kudos Tony Fernandes.”

Seorang lagi pengguna lain, Kushagra Varshney, memuji pengurusan krisis pasukan AirAsia, dengan memberitahu, “Menakjubkan melihat pasukan anda menguruskan krisis ini dengan empati dan komitmen. Juga, perkara penting yang dibangkitkan oleh Tony Fernandes—apabila kegagalan sistem IT menyebabkan kerugian kewangan serta mengganggu kehidupan orang ramai, apakah ganti rugi yang disediakan oleh syarikat IT ini?”

Begitu juga, Umar Dani Mochlis Moktar memberikan komen, “Tindakan yang mengagumkan daripada pasukan anda. Insiden ini membuatkan kami tertanya-tanya betapa mudahnya satu sistem boleh mengganggu seluruh dunia.”

Semalam, institusi utama, termasuk syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara, dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global yang dikaitkan dengan CrowdStrike .

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan