WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERWAKILAN ASING MERAFAK SEMBAH UCAPAN TAHNIAH SEMPENA PERTABALAN SULTAN IBRAHIM

20/07/2024 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Perwakilan asing di Malaysia merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda di Balairung Seri Istana Negara pada Sabtu itu berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Alisa Terry menzahirkan penghormatan beliau kerana diundang menghadiri istiadat pertabalan itu.

"Hubungan yang lama antara kerabat diraja kedua-dua negara dan hubungan mendalam antara rakyat menjadi asas kepada kerjasama moden antara United Kingdom (UK) dan Malaysia," katanya kepada Bernama.

Beliau turut menyampaikan mesej ucapan tahniah khas daripada Pemerintah United Kingdom, Raja Charles III: "Beta menulis untuk menzahirkan ucapan tahniah yang tulus ikhlas sempena pertabalan  Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Beta berharap dapat bekerjasama dengan Seri Paduka Baginda untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat kita dan memperdalam kerjasama erat antara negara kita.

"Sebagai rakan kongsi Komanwel, United Kingdom dan Malaysia berkongsi nilai bersama dan hubungan yang telah lama dalam bidang seperti pendidikan, perdagangan, teknologi dan pertahanan.

"Beta berharap kita dapat terus membina apa yang menyatukan kita pada masa hadapan, termasuk komitmen bersama kita untuk menangani perubahan iklim dan melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang," menurut mesej itu.

Sementara itu, Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr turut menghadiri istiadat pertabalan berkenaan.

Beliau menzahirkan rasa kagum terhadap penganjuran yang cemerlang dan suasana menakjubkan detik bersejarah di Istana Negara. Duta itu menyampaikan ucapan tahniah serta perutusan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi sempena pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Nasr menyatakan bahawa beliau mendapat penghormatan bertemu dengan Sultan Ibrahim semasa lawatan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia dari 2 hingga 5 Julai, apabila baginda berkenan menerima menghadap Sheikh Al-Azhar itu.

"Patik yakin di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim, Malaysia akan mengalami masa depan yang sangat makmur dalam tempoh lima tahun akan datang, dipandu oleh kebijaksanaan dan pandangan yang dikongsikan baginda dalam ucapan pada istiadat itu.

"Patik berharap kita dapat mencari lebih banyak peluang untuk kedua-dua Malaysia dan Mesir, dan hubungan antara kedua-dua negara akan semakin erat," katanya kepada Bernama.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Ibrahim dan keluarganya sempena istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mykhailiuk menyatakan bahawa detik bersejarah itu menandakan lembaran baharu dalam sejarah Malaysia yang kaya, dan Ukraine berharap untuk mengukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama di bawah kepimpinan baginda.

Beliau berharap agar lembara baharu itu akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke menerusi hantaran di X menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17," katanya.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur turut memuat naik hantaran di X (@usembassykl), merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, melalui akaun rasmi mereka di X (@EUinMalaysia) memuat naik hantaran: “Merafak sembah ucapan tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Semoga pemerintahan Seri Paduka Baginda penuh dengan kejayaan dan kemakmuran!”

Kedutaan Republik Turkiye di Kuala Lumpur turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim melalui satu hantaran di akaun rasmi X mereka (@TCKualaLumpurBE).

“Kami ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan