WILAYAH - UTARA > BERITA

‘Penang Silicon Design @5km+ bakal diwujud rancakkan ekosistem E&E

27/07/2024 12:26 PM

GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang bakal mewujudkan inisiatif baharu 'Penang Silicon Design @5km+’ selaras dengan usaha menjayakan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) bagi  merancakkan ekosistem industri elektrik dan elektronik (E&E) di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu meliputi empat projek utama iaitu Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital, Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang, Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.

“Penang Silicon Design @5km+ dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini,” katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri di Dewan Seri Pinang di sini.

Istiadat yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak itu menyaksikan 235 individu masing-masing menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat hari ini.

Pada 28 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pelan NSS yang mampu menarik pelaburan hingga RM500 bilion dalam bidang berkaitan semikonduktor di dalam negara.

NSS adalah pelan strategik untuk pemerkasaan industri semikonduktor negara yang dirangka dalam tiga fasa bagi memupuk kerjasama dengan syarikat di peringkat ASEAN, Asia serta global.

Sementara itu, Chow berkata bagi memastikan rakyat menikmati limpahan kemajuan serta pembangunan yang sedang pesat berkembang, aspek pemantauan dan penyelarasan projek pembangunan akan terus dilaksanakan di semua peringkat.

Beliau berkata jabatan dan agensi di bawah negeri serta Persekutuan yang diberi tanggungjawab sebagai pelaksana projek perlu memastikan semua inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat di negeri itu.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan pembangunan dengan jumlah RM374.718 juta bagi maksud pembangunan tahun ini dan keutamaan akan diberikan kepada projek-projek sambungan yang merupakan projek berimpak tinggi.

"Antaranya seperti projek pembangunan Gurney Bay, rancangan tebatan banjir (RTB), pinjaman kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pembiayaan sebahagian kepada projek GBS By The Sea, Pembangunan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana di daerah Seberang Perai Tengah serta projek pelebaran jalan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal," katanya.

Menurut Chow, inisiatif berterusan kerajaan negeri bukan hanya untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa tetapi juga bagi melimpahkan manfaat keseluruhan demi warga serta masa depan Pulau Mutiara itu.

Beliau berkata erti kemajuan tidak bermakna sekiranya keperluan asas rakyat tidak dipenuhi dengan sebaiknya sehingga menyukarkan mereka untuk menjalani kehidupan seharian dengan sejahtera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan