WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kampung Sungai Baru jadi Kampung Angkat Menteri Agama

27/07/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, menjadi Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk memartabatkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Mohd Na'im berkata beliau akan memastikan Kampung Sungai Baru khususnya Kampung Baru supaya mendapat lebih tumpuan untuk menangani isu kemiskinan, keciciran pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, penyalahgunaan dadah, infrastruktur dan sebagainya.

“Sebagai anak Kampung Baru, saya rasa amat bertanggungjawab untuk berusaha membantu keperluan warga Kampung Sungai Baru dalam pelbagai aspek khususya bidang pendidikan dan penghayatan Islam kerana ia berkait rapat dengan bidang tugas saya selaku Menteri Agama.

“Saya membesar di sini sejak zaman kanak-kanak dan remaja lagi dan terdedah dengan hiruk-pikuk kota raya. la menjadi universiti kehidupan yang mengajar saya erti semangat tolong menolong, bekerjasama dan juga perjuangan hidup. Seribu satu kenangan dan nostalgia telah dilalui sehingga membentuk diri saya pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santuni MADANI: Mini Karnival Kampung Angkat MADANI di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau juga berhasrat untuk menubuhkan Pasukan Kerja Santuni MADANI Kampung Baru yang akan dipengerusikan sendiri oleh penduduk kampung itu bagi melicinkan gerak kerja yang direncanakan untuk kemajuan kampung itu. 

Pada 6 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya memilih kampung asal atau kampung lain untuk dijadikan kampung angkat bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.

Terdahulu, Mohd Na'im dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan kepada tiga asnaf yang merupakan penerima bantuan zakat MAIWP di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru pada Program Ziarah MADANI.

Mereka ialah ibu tunggal Norazian Bistaman, 52; warga emas Siti Norsiah Mashkor, 70; dan penghidap penyakit saraf Badrol Hisham Mohd Noor, 62, dengan kesemuanya menerima bantuan wang tunai dan barang makanan sumbangan daripada agensi itu.

Mohd Na'im turut berkesempatan beramah mesra bersama pengurusan Sekolah Kebangsaan Kampung Baru yang dipilih untuk menjadi simbolik penyerahan Program Gerobok Rezeki Sekolah Wilayah Persekutuan Tahun 2024 berjumlah RM1.5 juta.

“Program Gerobok Rezeki Sekolah merupakan inisiatif MAIWP dalam memastikan tiada anak-anak terutamanya pelajar sekolah yang kelaparan.

“Dengan konsep ‘ambil atas keperluan, beri tanpa persoalan’, program yang digerakkan dengan kerjasama Pertubuhan Keinsanan Malaysia (HUMANITY) itu telah memanfaatkan semua pelajar tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan