WILAYAH - SARAWAK > BERITA

94.1 Peratus Penduduk Dewasa Sabah Alami Masalah Gigi Berlubang

27/07/2024 09:38 PM

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Sebanyak 94.1 peratus penduduk dewasa di negeri ini mempunyai masalah gigi berlubang atau karies, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna.

Beliau berkata dapatan Kajian Kebangsaan Kesihatan Mulut itu juga menunjukkan 82 peratus kanak-kanak berusia enam tahun dan  63.3 peratus murid sekolah berusia 12 tahun mempunyai masalah karies.

Dapatan kajian itu juga, katanya menunjukkan bahawa masalah kesihatan pergigian adalah lebih serius di kawasan luar bandar, berpunca daripada diet yang tinggi kandungan gula selain kurangnya penekanan dalam amalan pencegahan dan pemeliharaan kesihatan pergigian.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa berusaha meningkatkan taraf kesihatan mulut penduduk di negeri ini. Pelbagai program yang menggalakkan amalan pencegahan sebagai rutin kehidupan telah dilaksanakan seperti memberus gigi dua kali sehari secara berkesan dan menggunakan ubat gigi berfluorida.

“Selain itu berkumur setiap kali selepas makan, mengamalkan pemakanan sihat, melakukan pemeriksaan mulut sendiri dan mendapatkan pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya setahun sekali sering dianjurkan mencegah penyakit pergigian,” katanya berucap pada penutup Minggu Promosi Kesihatan Pergigian di sini hari ini.

Dr Asits berkata bagi meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan, JKNS telah meluaskan  perkhidmatan melalui jaringan Klinik Pergigian dan Klinik Pakar Pergigian yang meliputi Klinik Pergigian Sekolah, Klinik Pergigian Bergerak dan Pasukan Pergigian Bergerak.

Beliau berkata pada tahun ini JKNS telah mendapat kelulusan projek Rancangan Boleh Pinda Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk perolehan tiga Klinik Pergigian Bergerak yang baharu melibatkan daerah Penampang, Keningau dan Kudat. 

“Di samping itu, kelulusan juga diperoleh untuk penubuhan empat Pasukan Pergigian Bergerak sebagai sebahagian peluasan perkhidmatan di Klinik Pergigian Kepayan, Klinik Pergigian Luyang, Klinik Pergigian Telupid dan Klinik Pergigian Tawau,” katanya.

Menurut Dr Asits usaha mengekang karies pergigian, pencegahan secara strategi populasi seperti pemfluoridaan bekalan air awam dan kumuran mulut berfluorida turut diperluas.

“Sejumlah 31 sekolah rendah dengan bilangan murid 2,970 orang secara konsisten mengikuti program kumuran berfluorida pada setiap minggu persekolahan di seluruh Sabah,” katanya.

Dr Asits berkata melalui usaha sedemikian, diharapkan lebih ramai penduduk Sabah dapat menerima kemudahan kesihatan pergigian sama ada khidmat penggalakan, pencegahan dan rawatan kesihatan pergigian yang akan meningkatkan taraf kesihatan mulut di negeri ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan