WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia catat kemajuan ketara untuk dapatkan semula status Harimau Asia - Amir Hamzah

28/07/2024 09:19 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 28 Julai (Bernama) -- Tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang memberangsangkan adalah petunjuk bahawa Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata beliau juga telah menerima maklum balas positif berhubung prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh semasa pertemuan dengan pelabur dan penganalisis, mereka menyatakan keyakinan mengenai pertumbuhan masa depan negara.

“Untuk mendapatkan semula status Harimau Asia bukan sekadar impian biasa. Kerajaan dan saya amat yakin bahawa kita boleh mencapai matlamat ini.

“Kami juga melihat ramai penganalisis kewangan di luar sana, banyak agensi penarafan, ramai orang yang mengakui bahawa Malaysia secara asasnya kembali di landasan yang betul,” katanya kepada diaspora Malaysia di sini pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Amir Hamzah mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Singapura yang berakhir semalam.

Semasa lawatan itu, beliau turut menghadiri sesi libat urus dengan pelabur yang diatur bersama oleh CIMB, JP Morgan dan UOB.

Kerajaan MADANI telah berjaya mengekalkan kestabilan selama 21 bulan setakat ini selepas beberapa siri perubahan dalam kerajaan dan pandemik COVID-19 yang menghentikan kemajuan ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan terpaksa menggunakan beberapa “keputusan yang sukar untuk tujuan yang betul” apabila  negara berdepan dengan hutang kira-kira RM1.5 trilion, antaranya adalah subsidi diesel dan elektrik bersasar untuk mewujudkan lebih banyak ruang fiskal bagi pertumbuhan ekonomi.

Amir Hamzah berkata tahun lepas, jumlah perbelanjaan mengurus kerajaan ialah RM311 bilion, RM81 bilion disalurkan ke arah bantuan sosial dan sokongan subsidi manakala 48 peratus lagi dibelanjakan untuk bayaran pencen, imbuhan perkhidmatan awam dan liabiliti lain.

“Jika anda menambah semua kewajipan lain yang kami ada, kami sebenarnya hanya mempunyai kira-kira dua hingga tiga peratus lebihan fiskal untuk bergerak, penting untuk mencipta semula ruang fiskal bagi membolehkan kerajaan berbelanja lebih pada infrastruktur yang boleh menarik lebih banyak perniagaan dan mengaktifkan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan (MoF) kini sedang mengumpul idea dan maklum balas daripada rakyat dan kumpulan berkepentingan sebagai sebahagian daripada kerja-kerja persediaannya untuk Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober depan.

Menurutnya, kementerian komited untuk mendengar idea inovatif dan kebimbangan mereka yang boleh dilakukan melalui bahagian Cadangan Belanjawan 2025 di laman web MoF.

“Saya akan menggalakkan semua orang untuk memberi cadangan dan menyumbang idea demi pembinaan negara,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan