WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerangka Ekonomi MADANI kekalkan pertumbuhan dan daya tahan ekonomi negara

28/07/2024 10:57 AM

Oleh Zarul Effendi Razali and Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kerangka Ekonomi MADANI dilihat sebagai komponen penting dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan yang membantu mengekalkan pertumbuhan dan daya tahan ekonomi Malaysia.

Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Dr Yeah Kim Leng berkata kerangka itu, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai tahun lepas, menjadi rangka kerja dasar asas yang memberikan panduan dalam merangka pelbagai pelan, pelan hala tuju dan pelan tindakan.

“Langkah-langkah di bawah kerangka ini untuk meningkatkan pengeluaran, produktiviti dan rantaian nilai dalam sektor pengeluaran, selain sektor pekerjaan, gaji dan pendapatan dalam sektor isi rumah atau penggunaan mencatatkan pertumbuhan yang stabil, akan membawa kepada pembasmian kemiskinan, kesejahteraan hidup yang lebih baik dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara keseluruhan yang tinggi.

“Setakat ini, pertumbuhan pendapatan median negara seiring dengan inflasi walaupun kumpulan pendapatan B40 dan separuh daripada M40 mungkin bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat, bergantung kepada lokasi, gaya hidup, saiz keluarga dan kumpulan umur mereka,” katanya kepada Bernama.

 

2024, tahun untuk laksana kerangka Ekonomi MADANI  

Felo di Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan bersetuju dengan kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa 2024 merupakan permulaan kepada pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI. 

“Saya berpendapat kerangka itu masih dalam peringkat pelaksanaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, justeru, tidak mencukupi untuk mengukur kemajuannya.

“Bagaimanapun, melihat kepada pertumbuhan ekonomi melalui KDNK, yang berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding 2.9 peratus pada suku keempat 2023, terdapat banyak peningkatan,” katanya. 

Pada Februari lepas, Amir Hamzah berkata tahun 2024 akan tertumpu kepada pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI dan semua dasar yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun lepas.

Beliau berkata kerajaan telah meletakkan garis panduan yang jelas bagi kemajuan ekonomi.

“Kami yakin kami akan berupaya mengharungi perjalanan untuk melaksanakan kerangka Ekonomi MADANI pada tahun ini dan semua dasar yang kita umumkan pada tahun lepas,” kata Amir Hamzah kepada Bernama dalam temu bual pertamanya sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada Disember lepas. 

Azmi berpendapat tekad kerajaan atau keazaman politik amat penting untuk pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI dan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), yang diluluskan di Parlimen pada Oktober lepas, akan menunjukkan kerajaan yang cekap dan bertanggungjawab di bawah kepimpinan Anwar.   

Kerajaan sedia maklum bahawa subsidi diesel bersasar akan menjadi isu sensitif namun (rasionalisasi) subsidi tetap dilaksanakan demi masa depan yang lebih baik, katanya.

“Menurut akta itu, kerajaan mahu mengurangkan defisit fiskal kepada empat peratus pada tahun ini dan tiga peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kerajaan juga komited untuk mengurangkan hutang negara kepada 60 peratus daripada KDNK. Saya berpendapat itu adalah mesej yang sangat jelas bahawa kerajaan mahu melaksanakan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

 

Memperkukuh Kedudukan Fiskal, Kesejahteraan Rakyat

Mengenai pelaksanaan subsidi diesel bersasar, Yeah berkata selain mengukuhkan kedudukan kewangan dan fiskal kerajaan, langkah itu membolehkan peruntukan daripada sumber yang terhad menjadi lebih cekap apabila ketirisan berkurangan dan perbelanjaan lebih produktif untuk pembangunan.

Ekonomi juga akan lebih berdaya tahan dalam menghadapi kejutan harga minyak pada masa depan, katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan sedar mengenai situasi yang dihadapi rakyat berikutan harga yang terus meningkat.

Ini telah mendorong kepada peruntukan yang lebih besar untuk program pemindahan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung isi rumah berpendapatan rendah, katanya.

Beliau berkata pengeluaran menerusi Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga dilaksanakan selepas kerajaan menyedari keperluan untuk memberikan sedikit kelonggaran kepada rakyat bagi menggunakan simpanan persaraan mereka.

“Justeru, keperluan jangka masa pendek telah diberikan perhatian (oleh kerajaan). Kini, terpulang kepada (kerajaan) mengenai cara untuk menggunakan penjimatan daripada rasionalisasi subsidi bagi menambah baik pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur negara.

“Oleh itu, sekali lagi, perkara ini akan mengambil sedikit masa untuk rakyat menikmati hasilnya,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata program pemindahan tunai seperti STR dan SARA serta subsidi bersasar telah menjadi mekanisme utama kerajaan untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat susulan perubahan dasar ke atas subsidi dan cukai.

Menurutnya, perubahan dasar sedemikian tidak mudah untuk dilaksanakan tetapi merupakan tindakan yang wajar dilakukan bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan hanya mereka yang layak akan menerima bantuan kewangan.

“Penyasaran subsidi diesel lebih memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal yang seharusnya mewujudkan lebih banyak ruang untuk perbelanjaan dalam bidang yang akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti lebih baik dalam jangka panjang dan sederhana.

“Ini mungkin termasuk perbelanjaan bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur,” katanya.

 

Sasaran jangka sederhana dan NIMP 2030

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan inisiatif Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai pelan komprehensif untuk Malaysia menangani pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing dan tarikan pelaburan serta menggariskan tindakan untuk menangani isu-isu semasa yang mempengaruhi kehidupan rakyat. 

Inisiatif itu menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Ia termasuk kedudukan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia, 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global, 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia dan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Sasaran lain ialah meningkatkan bahagian pendapatan tenaga kerja kepada 45 peratus, menaikkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 60 peratus dan mencapai kemampanan fiskal dengan defisit fiskal tiga peratus atau lebih rendah.

Sementara itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada September tahun lepas adalah komponen utama Ekonomi MADANI yang akan menyokong usaha merealisasikan pembaharuan ekonomi.

Menurut Anwar, NIMP 2030 bertujuan menggiatkan semula sektor pembuatan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam keadaan cabaran yang semakin meningkat dan perubahan besar yang berlaku pada masa ini.

“NIMP 2030 ini dirangka bagi memacu trajektori Malaysia sebagai peneraju global dalam pembangunan perindustrian, memperluas hubungan domestik untuk mewujudkan kekayaan di seluruh negara dan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global,” kata beliau.

Dalam tempoh tujuh tahun yang singkat, sebanyak empat misi telah dirangka di bawah NIMP 2030 bagi memacu transformasi industri dalam skala besar iaitu memajukan ekonomi; membina negara berdaya maju dalam teknologi; mendorong ke arah mencapai pelepasan sifar bersih serta menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi.

Anwar berkata misi itu akan disokong oleh empat pendaya bagi menangani cabaran sistemik dan institusi termasuk menangani cabaran pembiayaan, mendorong pembangunan dan daya tarikan tenaga kerja, meningkatkan pengalaman pelabur dan menambah baik mekanisme tadbir urus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan