WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAMA Peruntuk RM10 Juta Naik Taraf Pasar Tamu Di Sabah

02/08/2024 10:23 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pembangunan dan menaik taraf 41 Pasar Tamu di seluruh Wilayah Sabah, tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah tersebut, RM7.6 juta telah digunakan bagi menaik taraf 38 Pasar Tamu yang kini sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap tahun ini.

“Sebanyak tiga Pasar Tamu iaitu Pasar Tamu Kinabatangan, Pasar Tamu Menggerimot dan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon sedang dalam fasa dokumentasi dan pelaksanaan bagi tujuan naik taraf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata projek menaik taraf Pasar Tamu ini akan memberi manfaat kepada 150 usahawan di setiap Pasar Tamu untuk menjalankan aktiviti pemasaran agromakanan mereka.

"Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kemudahan fasiliti dan keselesaan pengunjung di Pasar Tamu, sambil mengekalkan elemen budaya setempat yang menjadi identiti unik masyarakat di wilayah ini," katanya.

 Selain itu katanya, sehingga tahun lepas FAMA telah membelanjakan RM5.36 juta untuk menaik taraf enam Pasar Tamu sedia ada iaitu Pasar Tamu Sook di Keningau, Pasar Tamu Dataran Tomborungus di Kudat, Pasar Tamu Kunak, Pasar Tamu Beluran, Pasar Tamu Tuaran, dan Pasar Tamu Telupid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan