WILAYAH - SELATAN > BERITA

Wanita Cedera Disyaki Dipukul Kekasih

02/08/2024 04:08 PM

SEREMBAN, 2 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita cedera pada bahagian muka dan mulut dipercayai dipukul teman lelakinya di Jalan Batu 18, Pasir Panjang, Port Dickson, di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada mangsa yang berusia 33 tahun pada 11.44 pagi semalam.

“Kes berkenaan turut tular menerusi satu akaun Facebook yang dimuat naik penama Anonymous mengatakan kakaknya dipukul oleh lelaki berusia 27 tahun itu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa mangsa dan lelaki itu bertengkar, dipercayai akibat cemburu sebelum wanita itu dipukul hingga lebam pada bahagian muka dan luka kecil di mulut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit juga mengugut adik mangsa untuk menyebarkan gambar mangsa.

Aidi Sham berkata susulan itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Port Dickson menahan lelaki berkenaan pada 11.50 malam tadi di Bandar Sunggala, Telok Kemang.

Beliau berkata lelaki terbabit didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala saringan air kencing mendapati dia positif terhadap Methamphetamine. 

"Lelaki itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 323 atau Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan