WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT Capai 85 Peratus Pelaksanaan 10 Daripada 12 Inisiatif Belanjawan 2024 - Nga

02/08/2024 01:35 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mencapai 85 peratus pelaksanaan 10 daripada 12 inisiatif yang tersenarai dalam Belanjawan 2024 setakat 21 Jun tahun ini, kata Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata kementerian itu telah menetapkan 12 inisiatif Belanjawan KPKT 2024 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM737.9 juta dan daripada jumlah ini, 10 inisiatif telah mencapai lebih 85 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam tempoh enam bulan sahaja.

Antara 10 inisiatif itu adalah menaik taraf tandas awam, program penukaran lampu jalan, menaik taraf pasar awam uzur, penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam, serta menaik taraf dan membaik pulih sistem perparitan dan longkang.

“Pencapaian separuh tahun KPKT merangkumi lima perkara iaitu Inisiatif Belanjawan 2024, Kerangka Strategik Malaysia MADANI (KSMM), Pasukan petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), Program Sentuhan Kasih KPKT dan Perancangan Penggubalan / Pindaan Akta.

“Pencapaian ini merupakan jalinan kerjasama dan komitmen yang tinggi semua jabatan dan agensi di bawah KPKT dalam mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata beliau di dalam program Santai Pagi Bersama YB KM: Temu bual Eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT di sini hari ini.

Nga berkata sehingga 30 Jun 2024, beliau dengan kerjasama seluruh pasukan KPKT berjaya mencapai sasaran KSMM dan akan terus menggandakan usaha demi kesejahteraan rakyat.

“Menerusi TFST, KPKT telah berjaya memulihkan 247 projek sakit dan lima projek terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sejumlah RM19.13 bilion dan antara pencapaian terbesar KPKT adalah Program Sentuhan Kasih iaitu program yang menyantuni rakyat dengan menggunakan pendekatan turun padang,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, sejumlah 27 program telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan RM1.467 bilion.

Peruntukan ini meliputi kos projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur awam yang dilaksanakan oleh agensi/jabatan di bawah KPKT di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan