WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Padang Kriket Sarawak Dinaik Taraf Selepas SUKMA - Abdul Karim

02/08/2024 06:10 PM

KUCHING, 2 Ogos (Bernama) -- Padang kriket di Kompleks Sukan Sarawak, Petra Jaya akan dinaik taraf dengan kemudahan lengkap selepas temasya Sukan Malaysia (SUKMA 2024) bulan ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata buat masa ini padang tersebut tidak mempunyai kemudahan asas seperti bilik persalinan pemain dan tempat duduk penonton.

Beliau berkata sebuah padang kriket yang lengkap diperlukan di Sarawak bagi mengangkat sukan itu yang semakin popular di Bumi Kenyalang.

“Kita akan naik taraf selepas SUKMA, kita akan bina tempat penonton dan bina bangunan di sebelah padang ini seperti sebuah stadium.

“Sukan kriket ini tidak seperti sukan-sukan lain kerana ia mudah dipelajari dan tempat diperlukan juga tidak begitu besar berbanding sukan lain seperti sukan berbasikal yang memerlukan sebuah tempat besar,” katanya selepas merasmikan padang kriket Sarawak di Kompleks Sukan Sarawak di sini, hari ini.

SUKMA 2024, yang dijadualkan dari 17 hingga 24 Ogos, akan dianjurkan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Temasya kali ini akan mempertandingkan 488 acara, merangkumi 37 sukan, terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita, dan 35 acara campuran, serta dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan