WILAYAH - SELATAN > BERITA

Sebatu Bakal Jadi Pusat Projek Ternakan Ketam

02/08/2024 07:48 PM

JASIN, 2 Ogos (Bernama) -- Kawasan perairan Sebatu di Sungai Rambai bakal menjadi pusat projek penternakan ketam yang menggunakan pemindahan teknologi dari Korea Selatan bagi menghasilkan benih makanan laut itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata projek itu, yang dijangka bermula hujung tahun ini, akan dilaksana dengan kerjasama Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menerima geran bernilai hampir RM1 juta.

"Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai telah menjalin kerjasama dengan UPM dalam usaha mewujudkan pusat penyelidikan dan pembenihan hasil ternakan laut di Sebatu sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai kampung agropertanian serta ekopelancongan.

"Menerusi usaha sama ini, pasukan penyelidik telah menghasilkan kertas cadangan untuk dihantar ke negara yang mempunyai teknologi dalam bidang akuakultur dan berjaya meraih geran tersebut," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Festival D' Bendang Melaka 2024 dan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Parit Penghulu Benteng hari ini.

Beliau juga berkata persiapan bagi penganjuran festival itu sudah siap 60 peratus sebelum berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos ini dan pihaknya menjangkakan program tiga hari tersebut bakal menarik 10,000 pengunjung menerusi pelbagai pengisian serta aktiviti menarik sepanjang acara berlangsung.

"Penganjuran program kali kedua diadakan ini pastinya lebih meriah dengan beberapa penambahbaikan dibuat bagi memastikan program ini berjalan lancar termasuk penyediaan tapak parkir kereta yang lebih teratur.

"Selain itu, lebih 140 usahawan telah mendaftar untuk menyertai Mini KUD dan ramai yang menyatakan minat untuk menyertainya walaupun tarikh pendaftaran telah ditutup," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan