WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Peralatan Darjah Kebesaran Palsu Dirampas Daripada Pengarah Syarikat Telekomunikasi

02/08/2024 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Polis merampas beberapa peralatan darjah kebesaran palsu daripada seorang pengarah sebuah syarikat telekomunikasi berkaitan dakwaan penggunaan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menerima laporan daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang berhubung penggunaan Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang tidak wajar.

"Susulan itu, beberapa peralatan darjah kebesaran palsu telah dirampas daripada penama yang merupakan pengarah sebuah syarikat telekomunikasi.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek-suspek lain yang terlibat dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ramli sehubungan itu menasihati mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenang menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia merupakan kesalahan jenayah.

Beliau berkata dalam kes terbabit, pengarah itu boleh dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana telah menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan.

Jika disabit kesalahan, katanya pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan