WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ribuan Orang Termasuk Pemimpin Negara Arab, Islam Hadiri Pengebumian Haniyeh Di Doha

03/08/2024 12:44 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) --  Upacara pengebumian  Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Doha, Qatar pada Jumaat dihadiri ribuan orang dan pemimpin dari pelbagai negara Arab dan Islam,  termasuk  Malaysia. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mewakili Kerajaan Malaysia pada majlis itu dalam catatan di Facebook beliau berkata kehadiran ribuan orang sewaktu solat jenazah dan upacara pengebumian Haniyeh jelas menunjukkan nilai penghormatan yang tinggi kepadanya sebagai pemimpin teragung Palestin.

Menurut Shamsul Anuar beliau  dibawa oleh wakil Kedutaan Malaysia di Doha mengiringi jenazah  pemimpin yang syahid itu  untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam Bandar Lusail, Doha pada 1 tengah hari waktu tempatan.

“Mewakili Kerajaan Malaysia saya telah memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh,” katanya.

Media Iran melaporkan bahawa Haniyeh terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran sekitar pukul 2 pagi waktu tempatan pada 31 Julai.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri upacara angkat sumpah presiden baharu Iran  Masoud Pezeshkian.

Shamsul Anuar dalam catatannya optimis bahawa perjuangan Haniyeh  akan diteruskan dalam usaha membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis dan  menjadi sebuah negara merdeka.

Turut mewakili kerajaan Malaysia pada upacara itu ialah Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Qatar.

Shamsul Anuar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad  pada Jumaat, 6 pagi waktu tempatan turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Imam Muhammad Ibn Abdul Al Wahhab di Doha, Qatar yang dihadiri oleh ribuan jemaah daripada pelbagai negara dan rakyat tempatan sebelum dibawa oleh wakil Kedutaan Malaysia di Doha untuk mengiringi jenazah Haniyeh ke tanah perkuburan dan menyaksikan majlis pengebumian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan