WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SSM Lancar Buku Kod Etika Korporat, Tekankan Komitmen Tertinggi Terhadap Integriti

03/08/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Buku Kod Etika Korporat SSM dalam usaha menekankan komitmen tertinggi terhadap integriti, etika, dan amalan antirasuah.

SSM menjelaskan Buku Kod Etika Korporat SSM itu bertujuan menyokong penerapan amalan terbaik tadbir urus korporat dalam kalangan anggota suruhanjaya, pengurusan SSM, warga kerja SSM, pegawai Kelab Sukan dan Kebajikan SSM, ahli lembaga Koperasi SSM, pembekal, serta pihak berkepentingan SSM.

Menurut kenyataan SSM pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata seluruh warga kerja SSM komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang tadbir urus perniagaan di Malaysia serta undang-undang korporat di samping memupuk perkembangan positif dalam kedua-dua sektor itu.

Perkara itu disampaikan beliau menerusi ucapan perasmian pada majis pelancaran buku kod etika tersebut yang berlangsung di Menara SSM@Sentral di sini semalam, tambah kenyataan SSM.

“Penerbitan ini mengukuhkan ikrar kami untuk mengekalkan nilai itu melalui tingkah laku yang bertanggungjawab, telus, dan beretika,” katanya.

Buku Kod Etika Korporat SSM, yang selari dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, menyediakan panduan mengenai tanggungjawab dan prinsip untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam SSM.

Ia juga menjelaskan pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah yang diperoleh SSM sejak 2021 dan menekankan polisi tiada hadiah.

Buku ini boleh diakses dan dimuat turun melalui portal rasmi SSM di https://www.ssm.com.my/bm/Pages/Publication/Kod_Etika/Kod-Etika-Korporat.aspx.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan