WILAYAH - SABAH > BERITA

KUSKOP Pelawa Pelajar Sabah, Sarawak Lanjut Pelajaran Di UKKM

03/08/2024 06:35 PM

PENAMPANG, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempelawa pelajar khususnya dalam kalangan B40 di Sabah dan Sarawak untuk mengikuti pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata UKKM yang mula beroperasi pada Mac tahun lepas, menawarkan pengajian peringkat diploma hingga Doktor Falsafah dalam bidang keusahawanan dan koperasi, dengan kira-kira 100 pelajar sedang melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Beliau berkata UKKM kini hanya beroperasi di kampus sementara di Kuala Lumpur dan kementeriannya belum ada sebarang perancangan untuk melebarkan sayap dengan membuka cawangan di Sabah atau negeri lain setakat ini. 

"Saya minta satu pengambilan khas kepada pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak yang tidak sempat melanjutkan pengajian melalui proses permohonan UPU. Mereka boleh memohon secara dalam talian menerusi UKKM untuk melanjutkan pengajian sama ada diploma atau sarjana muda.

"Saya juga berhasrat terutama pelajar B40 atau semua anak muda di seluruh Malaysia, sekiranya ada permintaan besar di Sabah, Sarawak atau luar bandar di Semenanjung, ini yang kita ingin lihat supaya mereka bukan hanya dapat melanjutkan pengajian tetapi juga mampu membantu negara membangunkan sektor koperasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Ewon berkata UKKM menawarkan lima jurusan merangkumi bidang pentadbiran keusahawanan serta koperasi, selain universiti itu turut menyediakan kursus eksekutif sarjana bagi mereka yang sedang bekerja dan ingin mengambil bidang pengajian berkenaan.

Dalam pada itu, Ewon berkata pelajar terdiri daripada anak ahli koperasi boleh memohon pembiayaan disediakan agensi di bawah kementeriannya termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad  (Angkasa) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi melanjutkan pelajaran ke UKKM.

Beliau berkata universiti diterajui Institut Koperasi Malaysia itu ditubuhkan bagi memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran modal insan koperasi seterusnya memastikan kelestarian gerakan koperasi.

Ewon berkata UKKM diharap akan dapat mengubah dan menambah baik landskap gerakan koperasi di Malaysia yang telah wujud sejak 102 tahun lepas agar lebih berdaya saing sekali gus setanding dengan gerakan koperasi di luar negara.

Sebagai pemangkin pembangunan modal insan koperasi, UKKM akan menggembleng sumber kekuatan dan kemahiran agensi-agensi KUSKOP bagi memantapkan lagi peranannya ke arah melahirkan siswazah yang kompeten, profesional dan autoritatif serta bermindakan keusahawanan koperasi, katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad dan empat gerakan koperasi di Sabah iaitu Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad, Koperasi Emas Tawau Sabah Berhad, Koperasi Pusaka Penampang Berhad dan Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan