WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Persetujuan Pengakuan Bersalah Dengan Dalang Serangan 9/11 Ditarik Balik

04/08/2024 01:19 AM

WASHINGTON, 3 Ogos (Bernama-dpa) -- Persetujuan pengakuan bersalah dengan tertuduh dalang serangan pengganas 11 September 2001 dan dua lagi defendan telah ditarik balik, kata Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pada Rabu, Jabatan Pertahanan AS berkata ia telah mencapai persetujuan pengakuan bersalah dengan Khalid Sheikh Mohammed dan dua lagi yang bersama-sama dituduh.

Namun, "memandangkan kepentingan mengenai keputusan itu," Austin telah memutuskan "tanggungjawab untuk keputusan sedemikian harus terletak pada saya," tulisnya dalam memorandum kepada Susan Escallier, “convening authority” suruhanjaya tentera.

"Saya dengan ini menarik balik tiga perjanjian praperbicaraan yang anda tandatangani pada 31 Julai 2024, dalam kes yang dirujuk di atas," menurut memo itu lagi.

Serangan pengganas 11 September 2001 melibatkan empat pesawat penumpang yang dirampas dan digunakan untuk menyerang Pusat Dagangan Dunia di New York City dan ibu pejabat pertahanan Pentagon di luar Washington. Hampir 3,000 orang terbunuh.

Mohammed dipercayai sebagai dalang di sebalik serangan itu, menyelaraskan komunikasi dan pembiayaan untuk operasi berkenaan.

Dia ditahan di Pakistan pada tahun 2003, dan pada tahun 2006, dipindahkan ke penjara di Guantánamo, dan dijadualkan menghadapi perbicaraan di hadapan tribunal tentera atas penglibatannya. Namun, perbicaraan terhadapnya dan beberapa rakan defendan telah ditangguhkan selama beberapa tahun.

Bekas Presiden George W. Bush mewujudkan penjara di pangkalan tentera laut Teluk Guantanamo di Cuba untuk menahan suspek pengganas berikutan serangan berkenaan.

Walaupun terdapat seruan dari organisasi hak asasi manusia untuk penutupannya, sejumlah kecil tahanan masih ditahan di sana.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan