WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Paris 2024: Hasrat Pearly-Thinaah Bawa Pulang Pingat Tidak Kesampaian

03/08/2024 10:16 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 3 Ogos (Bernama) --  Hasrat beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah untuk menghadiahkan pingat pertama untuk Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian.

Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tewas 11-21, 11-21 kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.

Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-12 dunia, dilihat bergelut pada set pertama apabila strategi permainan mereka untuk menandingi beregu Jepun itu serba tidak menjadi.

Beregu negara meneruskan aksi goyah dengan kesilapan mudah pada set kedua, sekali gus menyaksikan Matsuyama-Shida mencatatkan kemenangan ke-10 menentang mereka.

Pearly-Thinaah hanya pernah menang sekali ke atas gandingan Jepun itu iaitu ketika suku akhir Terbuka Perancis 2022 sebelum muncul juara kejohanan tersebut.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama negara mara ke separuh akhir Olimpik, namun tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit kepada beregu nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, semalam.

Matsuyama-Shida pula kalah 16-21, 19-21 kepada satu lagi pasangan China, Liu Sheng Shu-Tang Ning.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan