WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Paris 2024: Aaron-Wooi Yik Hadapi Misi Pertahan Gangsa Malam Ini

04/08/2024 08:32 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia berpeluang untuk meraih pingat pertama di Sukan Olimpik Paris 2024, apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik turun beraksi dalam penentuan gangsa acara badminton beregu lelaki pada 3 petang ini (9 malam di Malaysia). 

Dalam misi mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo 2020, mereka akan berdepan cabaran beregu nombor dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark di Porte de La Chapelle Arena di sini.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik yang merupakan juara dunia 2022, telah memenangi tujuh daripada 11 perlawanan, namun tewas kepada naib juara Kejohanan Dunia 2023 itu dalam pertemuan terakhir di Terbuka Singapura, Mei lepas.

Di Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.

Aaron-Wooi Yik terlepas peluang untuk menukar warna pingat ke emas atau perak, selepas tewas 19-21, 21-15, 17-21 kepada beregu utama dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan separuh akhir yang sengit pada Jumaat.

Final acara beregu lelaki bakal menyaksikan pertembungan epik antara juara bertahan Lee Yang-Wang Chin Lin dari Taiwan dan juara Asia Wei Keng-Chang pada 4.10 petang (10.10 malam di Malaysia). 

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia turut akan beraksi dalam acara separuh akhir menentang juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada 10.50 pagi (4.50 petang di Malaysia).

Zii Jia sebelum ini menewaskan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15 pada Jumaat, manakala Kunlavut mengejutkan pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi menerusi kemenangan 21-12, 21-10.

Dalam pada itu, hasrat beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah untuk membutirkan pingat buat kontinjen negara tidak kesampaian selepas tunduk 11-21, 11-21 kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam aksi penentuan pingat gangsa pada Sabtu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan