WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Carsome Sasar Lonjak Pertumbuhan Hasil 20-40 Peratus Pada 2025

04/08/2024 10:48 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Platform e-dagang kereta bersepadu terbesar Asia Tenggara, Carsome Group, menyasarkan untuk meningkatkan hasil sebanyak 20 hingga 40 peratus pada 2025 dengan mengembangkan perniagaannya, terutama perkhidmatan sokongan seperti pembiayaan dan insurans.

Ketua Pegawai Eksekutif Eric Cheng berkata dengan operasi di Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina, perkhidmatan sampingan menyumbang 20 peratus jumlah pendapatannya pada separuh pertama 2024.

“Jadi, matlamat kami adalah untuk mengimbangi semua metrik utama daripada hasil dan keuntungan kasar kepada EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) dan keuntungan bersih. Kami menyasarkan untuk mencapai keseimbangan ini menjelang tahun hadapan,” kata Cheng kepada Bernama di luar Persidangan Tech in Asia 2024.

Cheng berkata perkhidmatan sampingan Carsome termasuk pembiayaan, insurans dan jualan selepas akan dilaksanakan melalui Carsome Capital dan Carsome Aftersales.

"Penggunaan teknologi yang menyeluruh ini meningkatkan kedua-dua operasi teras dan perkhidmatan sampingan, melonjakkan keuntungan kasar sampingan dengan ketara sebanyak lebih 80 peratus pada 2023," katanya.

Cheng berkata kumpulan itu akan terus mengekalkan tahap pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah untuk memastikan perniagaan stabil secara keseluruhan.

“Kami secara konsisten mengekalkan nisbah NPL yang sihat, dengan kurang daripada 2.0 peratus untuk pembiayaan runcit dan 0.1 peratus untuk pembiayaan borong.

"Ini menunjukkan amalan pengurusan risiko kami yang teguh, dan kami kekal komited untuk mengekalkan tahap NPL rendah bagi menyokong prestasi perniagaan yang stabil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Cheng berkata kumpulan itu merancang untuk menjalin kerjasama tambahan, termasuk pinjaman RM100 juta daripada AmBank Group yang diperoleh awal tahun ini.

Pada suku pertama 2024, keuntungan kasar seunit Carsome meningkat sebanyak 48 peratus tahun ke tahun, sebahagian besarnya didorong oleh urus niaga kenderaan dan disokong oleh enjin carian harga yang dipacu kecerdasan buatan (AI), yang menggunakan data besar untuk ramalan harga yang tepat.

Cheng berkata kumpulan itu juga telah mencapai kecekapan operasi yang ketara, mengurangkan kos pembelian pelanggan sebanyak 37 peratus dengan memanfaatkan ekuiti jenamanya yang kukuh dan menyepadukan perkhidmatan ekosistem komprehensif Carsome, memperkemas perjalanan pelanggan dan meningkatkan kecekapan kos di seluruh rantau.

Carsome juga sedang meneroka peluang untuk penyenaraian, memfokuskan kepada pasaran dengan kecairan tinggi dan berpotensi untuk penilaian yang lebih baik, termasuk Bursa Malaysia, katanya.

Ia masih menilai masa dan lokasi yang sesuai untuk memaksimumkan nilai pemegang saham.

“Kami sedang memantau arah aliran pasaran dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang untuk membuat keputusan dan kini dalam fasa penerokaan untuk menilai pilihan penyenaraian yang berpotensi.

“Walaupun kami belum memuktamadkan rancangan terperinci untuk hasil tawaran awam permulaan, tumpuan kami kekal pada memastikan masa dan lokasi sejajar dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan