WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Tiba Di Himpunan Pembebasan Palestin

04/08/2024 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini bagi menyertai Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin.

Ketibaan Anwar pada 9.20 malam disambut tetamu kenamaan termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta laungan "Bebas Palestin", dan "Free Palestin" oleh ribuan hadirin yang memenuhi dewan tertutup itu.

Perdana Menteri dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu, untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain.

Antara program yang diatur pada himpunan yang bermula seawal 6 petang itu ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Khamis lepas, Anwar berkata himpunan solidariti berkenaan adalah antara tindakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.

Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran, pada 31 Julai. Beliau berada di ibu negara Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan