WILAYAH - SELATAN > BERITA

MBS Perjelas Isu Wisma Punca Emas Terbiar

05/08/2024 04:05 PM

SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Perubahan permintaan ruang perniagaan dan trend pemain industri  serta kewujudan pusat membeli-belah baharu dan moden menyebabkan Wisma Punca Emas dekat sini tidak lagi mendapat sambutan. 

Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kebakaran yang berlaku pada 2018 turut menyebabkan masalah pendawaian elektrik seterusnya memberi kesan terhadap kemerosotan aktiviti perniagaan di bangunan berkenaan. 

Keadaaan ini menyukarkan pihak pengurusan membaik pulih dan menghidupkan semula aktiviti perniagaan kerana kekangan sumber kewangan disebabkan caj penyenggaraan yang tidak dapat dikutip serta terdapat pertikaian di antara pemaju dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Datuk Bandar MBS sebagai Pesuruhjaya Bangunan (COB) sentiasa prihatin terhadap skim pemajuan strata di dalam kawasan Pentadbiran Majlis. Mengikut rekod Unit COB MBS, jumlah keseluruhan skim pemajuan berstrata di bawah pemantauan MBS sebanyak 651 skim pemajuan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 243 skim (37 peratus) melibatkan strata komersial. Badan Pengurusan bertanggungjawab mengurus draf menyenggara bangunan dalam skim pemajuan berstrata seperti diperuntukkan dalam Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757),” menurut kenyatan itu di sini hari ini.

MBS sentiasa menyokong usaha memastikan wisma itu dapat berfungsi semula dan diurus serta diselenggara dengan baik bagaimanapun menjadi tanggungjawab setiap pemunya petak membayar caj penyenggaraan seperti diperuntukkan di bawah Akta 751 Seksyen 25.

Menurut kenyataan itu, pembayaran caj penyenggaraan itu membolehkan JMB mempunyai sumber kewangan untuk mengurus dan menyenggara bangunan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang tukang jahit warga emas satu-satunya peniaga yang masih bertahan sehingga kini menjalankan perniagaan di wisma itu.

Wisma yang dibina pada 1982 itu antara pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan di Negeri Sembilan  terutama penduduk Seremban.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan