WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Agong Mahu YSIJ Pergiat Usaha Bantu Rakyat

05/08/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) mempergiatkan usaha membantu rakyat yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian berkata Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan agar tiada rakyat yang tertinggal dalam menerima bantuan yayasan itu.

“Oleh itu, kami sentiasa memberikan bantuan melibatkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk Komuniti Orang Asli.

“Malah, YSIJ sebelum ini telah menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada keluarga memerlukan di Melaka,” katanya menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. 

 Menurut catatan tersebut YSIJ telah menyampaikan sebanyak 11,254 bakul makanan kepada golongan memerlukan di pelbagai daerah termasuk masyarakat Orang Asli sejak awal tahun sehingga Ogos.

“Rakyat daripada pelbagai kaum, penempatan dan lapisan masyarakat menerima manfaat bantuan dalam meringankan beban mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” menurut catatan itu. 

Hari ini, YSIJ meneruskan sumbangan bakul makanan kepada 150 keluarga di Mukim Pulai yang disampaikan Mohd Anizam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan