WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemenang Lima Pingat Olimpik, Daley Umum Bersara Daripada Sukan Terjun

13/08/2024 06:19 AM

LONDON, 12 Ogos (Bernama-PA Media/dpa) -- Atlet Britain, Tom Daley mengumumkan persaraannya daripada sukan terjun selepas berakhirnya Sukan Olimpik 2024 di Paris, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Penerjun berusia 30 tahun itu yang memenangi pingat emas di Tokyo pada 2021, mendedahkan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menamatkan kariernya semasa wawancara dengan British Vogue.

Daley yang menambah koleksi pingat Olimpik kelimanya dengan pingat perak dalam acara 10 meter seirama di Paris, berkata: "Ia terasa sangat, sangat aneh”.

"Saya berasa amat gementar untuk menghadapi ini, mengetahui ia adalah Olimpik terakhir saya. Terdapat banyak tekanan dan harapan. Saya sangat bersemangat untuk menyelesaikannya.

Tetapi apabila saya keluar dan melihat Lance dan anak-anak saya (Robbie dan Phoenix) serta rakan-rakan dan keluarga saya dalam kalangan penonton, saya terfikir, inilah sebabnya saya lakukan ini.

Ia sangat emosional di penghujung, di atas platform, mengetahui itu adalah terjunan kompetitif terakhir saya. Tetapi saya perlu membuat keputusan ini pada suatu ketika, dan ia terasa seperti waktu yang tepat. Inilah masa yang sesuai untuk menamatkannya," katanya.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan