WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelesenan Media Sosial: Langkah Tegas Tangani Buli Siber Dan Ancaman Subversif - Pakar

13/08/2024 10:38 AM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Langkah kerajaan mewajibkan semua perkhidmatan media sosial memohon lesen dilihat sebagai usaha strategik yang mampu mengawal salah laku seperti buli siber dan ancaman subversif di platform itu.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan peraturan berhubung media sosial, tetapi juga memastikan pelaksanaan undang-undang yang lebih berkesan.

“Pelesenan akan memudahkan pengawalan dan kerjasama di antara kerajaan dengan platform media sosial sekiranya berlaku salah laku. Ini penting kerana kita memerlukan banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk memastikan keselamatan di platform tersebut, terutamanya dalam membanteras isu buli siber, ancaman subversif dan seumpamanya,” katanya kepada Bernama.

Dr Noor Nirwandy berkata pelesenan media sosial juga akan membuka laluan untuk kerjasama lebih rapat antara kerajaan dan pengendali platform dalam membangunkan indikator atau sistem amaran awal kepada pengguna.

Ini penting untuk mengenal pasti dan menghalang penyebaran algoritma berunsur radikal dan ekstrem, yang berpotensi mencetuskan kekacauan melalui penyebaran maklumat palsu atau tidak benar. 

“Perlunya ada satu elemen gerak saraf yang memastikan algoritma-algoritma positif ini dibangunkan bersama antara kerajaan dan platform media sosial supaya kandungan yang disebarkan lebih positif dan berfokus kepada nilai kemanusiaan dan perpaduan.

“Mereka (platform media sosial) juga harus membantu kerajaan dan masyarakat dalam menunjukkan atau mempromosikan nilai atau algoritma positif ini,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025 susulan pengenalan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenalkan bermula bulan ini.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Sueraya Che Haron menegaskan bahawa dalam keghairahan menyambut kepesatan pembangunan media sosial, pengguna tidak seharusnya melupakan sisi gelap platform tersebut serta kesan buruk yang boleh berlaku jika tersalah langkah.

Beliau mengingatkan bahawa dalam menikmati kemudahan media sosial, batas-batas adab dan toleransi yang dianjurkan oleh agama dan adat ketimuran perlu sentiasa diutamakan.

“Akhir-akhir ini banyak hantaran-hantaran video yang tidak sewajarnya disajikan kepada umum tular di media sosial. Ada video yang mempertontonkan pertengkaran dan perang mulut, pergolakan rumah tangga, perlakuan yang jelik dan memalukan, berpakaian mencolok mata, dan semuanya ditonton sehingga ratusan ribu kali.

“Isu-isu sebegini mesti dibendung untuk memastikan rakyat Malaysia menggunakan media sosial secara berhemah, sekali gus menghalang penyebaran elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan keperibadian kita,” katanya.

Beliau turut memuji usaha MCMC yang konsisten dalam membendung penyebaran kandungan tidak wajar di media sosial.

Sebagai badan yang bertanggungjawab, agensi itu juga komited dalam meningkatkan literasi digital rakyat dengan memberi kesedaran terhadap penggunaan media sosial yang sihat dan menghalang penyalahgunaan platform tersebut untuk tujuan yang melanggar undang-undang, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan