WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aaron-Wooi Yik Mahu Ikut Jejak Langkah Ahsan-Setiawan

13/08/2024 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu mengikut jejak langkah idola mereka Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan untuk beraksi di peringkat tertinggi bagi tempoh masa yang lebih lama.

Bagaimanapun, Wooi Yik mengakui ia bukanlah satu perkara mudah memandangkan dirinya dan Aaron perlu memastikan mereka sentiasa berada dalam kondisi terbaik berdasarkan usianya yang semakin meningkat.

“Sudah tentu saya dan Aaron telah membincangkan perkara ini dan kami mahukan gandingan ini selama mungkin kerana kami tahu bahawa kami berpotensi untuk pergi lebih jauh dan kami belum sampai ke puncak.

“Kami mahu memenangi kejohanan besar seperti Hendra-Setiawan dan nak jadi macam mereka. Kami mempunyai semua pingat dalam kejohanan utama tetapi bukan semuanya emas dan itu yang kami mahu capai,” katanya.

Sebelum ini, beregu nombor tiga dunia itu menghadiahkan kilauan pingat pertama negara di Paris 2024 selepas menewaskan gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 di perlawanan penentuan gangsa, 4 Ogos lepas.

Sebagai rekod, ia merupakan gangsa kedua Aaron-Wooi Yik di pentas Olimpik selepas meraihnya di Tokyo 2020 dengan mereka kini menanam impian untuk terus memburu kilauan lebih baik di Los Angeles 2028.

Dalam pada itu, Aaron berkata selain perlu berada dalam kondisi terbaik, komunikasi antara mereka juga penting bagi mengelakkan salah faham yang dijangka mampu menggugat prestasi gandingan itu.

“Perkara paling penting ialah komunikasi untuk mengelakkan salah faham. 

“Dua tahun lepas, kami melakukan banyak salah faham, tetapi sekarang ia semakin baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan