WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jalan Baharu Simpang Ladang Serasa, Gua Musang Tingkat Mobiliti Rakyat

13/08/2024 11:45 AM

GUA MUSANG, 13 Ogos (Bernama) -- Pembinaan jalan masuk dari Simpang Ladang Serasa ke Kampung Lulut, Mukim Kuala Sungai, di sini, mampu meningkatkan mobiliti dan ketersambungan rakyat menerusi infrastruktur jalan raya yang berkualiti.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek membina jalan sepanjang 13.55 kilometer dengan kos bernilai RM40 juta itu dijangka siap pada Januari 2026.

"Projek ini telah dimulakan pada 4 Januari lalu dan kini dalam peringkat kerja awalan seperti pemeriksaan tapak bagi mengenal pasti utiliti dan kabel di sepanjang jajaran projek jalan ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati reka bentuk semula jajaran jalan ini perlu dilakukan kerana penemuan beberapa struktur seperti telaga tiub, jambatan dan pilon Tenaga Nasional Berhad," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa hampir dua jam meninjau kemajuan kerja pembinaan jalan masuk projek berkenaan dari Simpang Ladang Serasa ke Kampung Lulut, Mukim Kuala Sungai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata antara skop projek termasuk pemasangan lampu jalan, sistem perparitan, pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti, pengambilan balik tanah dan kerja rawatan tanah.

"Kita harap projek ini dapat siap mengikut jadual dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan