WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Remaja 14 Tahun Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Teman Wanita Di Tawau

13/08/2024 04:01 PM

TAWAU, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang remaja lelaki warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanita rakan senegaranya di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan tahun lepas.

Remaja berumur 14 tahun itu mengangguk faham dan membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol yang kemudiannya menetapkan 10 hingga 14 Feb tahun depan untuk perbicaraan. 

Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki itu yang ketika kejadian berumur 13 tahun didakwa membunuh Nur Zahirah Safaruddin, 13, di ladang kelapa sawit Murni Sdn Bhd, Jalan Kalabakan antara 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Jan 2023.

Remaja lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Suryana, manakala tertuduh diwakili peguam Liew Hon Min.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan