WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LHDN Bangunkan Portal MyInvois Mudahkan Pelaksanaan e-Invois Pembayar Cukai

13/08/2024 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) membangunkan Portal MyInvois sebagai mekanisme penghantaran e-Invois secara percuma bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois kepada semua pembayar cukai.

Eksekutif HASiL Contact Centre, Jabatan Khidmat Korporat, Nur Azureen Ismail memaklumkan portal yang mula beroperasi pada 1 Ogos itu boleh diakses dalam talian menerusi aplikasi MyTax, yang merupakan gerbang e-Perkhidmatan HASiL (LHDN). 

“Portal ini direka untuk memudahkan pelaksanaan e-Invois terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai sistem perniagaan untuk mengeluarkan e-Invois. 

“Tiada lagi isu hilang resit semuanya kerana HASiL telah menyediakan satu mekanisme untuk atasi masalah ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai bertajuk ‘Tujuh Perkara Perlu Tahu Tentang Cukai’ di Bernama Radio, di sini, hari ini.

Beliau berkata portal MyInvois menyediakan dua ciri utama iaitu pengurusan profil bagi pengguna, pembayar cukai, wakil, sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) dan perantara, manakala pengurusan dokumen pula merangkumi pengemukaan, semakan, penolakan, pembatalan dan cetakan dokumen.

Mengulas mengenai bayaran cukai, Nur Azureen berkata bayaran itu boleh dikurangkan sekiranya pembayar cukai memanfaatkan potongan atau pelepasan yang dibenarkan pihak LHDN.

“Apabila anda menggunakan potongan cukai atau pelepasan cukai tersebut, pastikan anda simpan rekod cukai dengan teratur sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun.

“Langkah ini penting bagi memudahkan anda menguruskan hal-hal percukaian dengan lebih baik terutama jika berhadapan semakan semula daripada pihak LHDN,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Eksekutif HASiL Contact Centre, Noorshah Amiera Maseri berkata pembayar cukai tidak seharusnya bersikap culas berhubung pelaksanaan cukai kerana cukai memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kesejahteraan sesebuah negara.

“Cukai merupakan sumber pendapatan utama bagi kerajaan. Dana yang dikumpul digunakan untuk membiayai pelbagai perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan infrastruktur.

“Hasil cukai juga membolehkan kerajaan membina dan menyelenggara jalan raya, jambatan, sekolah, hospital dan kemudahan awam lain, yang semuanya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan