WILAYAH - UTARA > BERITA

SUKMA 2024: Pelayar Cilik Perlis Optimis Sumbang Pingat

13/08/2024 02:51 PM

KANGAR, 13 Ogos (Bernama) -- Atlet muda Perlis dalam sukan pelayaran Lydia Hannah Jasmine Lukman, 12, yang pertama kali terpilih menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) optimis dapat menyumbang pingat dalam temasya itu di Sarawak.

Lydia Hannah berkata meskipun masih muda, semangatnya tidak goyah dan beliau tekad untuk melakukan yang terbaik. 

“Saya mula meminati sukan pelayaran sejak berusia 11 tahun serta didorong sepenuhnya oleh ibu dan bapa, mereka yang memperkenalkan saya kepada jurulatih sukan pelayaran.

“Minat itu tiba-tiba datang sendiri...walaupun sukan ini agak mencabar tetapi menyeronokkan. Saudara saya Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri juga jadi atlet sukan ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang bakal bertanding dalam acara Optimist berkata antara pencapaian terbaiknya tahun ini adalah meraih tiga pingat di Regatta Terbuka Perlis pada Mac.

“Saya juga telah menyertai kejohanan antarabangsa (tahun ini) antaranya ialah Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi, Kejohanan Pelayaran Nasional Thailand dan Kejohanan Layar Remaja Langkawi Perdana,” katanya.

Lydia Hannah yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Utan Aji itu berkata pengalaman menyertai kejohanan antarabangsa sedikit sebanyak memberikannya kekuatan dan keyakinan untuk mengemudi dinghy membelah Laut Cina Selatan pada acara itu yang akan diadakan di perairan Miri. 

Beliau juga bercita-cita untuk menjadi atlet pelayaran profesional seperti idolanya, atlet pelayaran negara Nur Shazrin Mohamad Latif, selain mengimpikan untuk mewakili negara di peringkat Olimpik satu hari nanti.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) Mohd Azraai Zain Tusimin berkata pihaknya berharap Lydia Hannah dapat melakukan yang terbaik dan merasai sendiri pengalaman di pentas SUKMA 2024.

"Kepada Lydia, yang merupakan atlet termuda SUKMA Perlis, saya mengharapkan yang terbaik serta beliau dapat menimba pengalaman serta dapat mengharumkan Perlis, teruskan perjuangan, insya-Allah kejayaan menanti anda," katanya.

SUKMA 2024 di Sarawak membuka tirai secara rasmi pada 17 hingga 24 Ogos ini, melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan