WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Persembahan Gendang Pelbagai Kaum Wadah Perpaduan Masyarakat

13/08/2024 01:06 PM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

KANGAR, 13 Ogos (Bernama) -- Dipalu berbeza, didendang tak sama, namun serentak, senada. Persembahan gendang pelbagai kaum dilihat sebagai wadah yang dapat menyemarakkan perpaduan masyarakat majmuk negara ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis Norazlin Nordin berkata penyatuan unsur pergendangan Melayu, Cina, India dan masyarakat Siam menerusi seni persembahan mampu mewujudkan sikap saling menghormati dan persefahaman.

Beliau berkata persembahan gabungan gendang pelbagai etnik itu memperlihatkan semangat perpaduan kaum di negara ini sekali gus menggalakkan rakyat lebih menghargai keharmonian dan kestabilan yang sedang dinikmati di Malaysia.

“Jadi saya melihat sekiranya kita mengadakan persembahan contohnya pergendangan pelbagai kaum di Malaysia ia sangat menarik...saya rasa persembahan seperti itu akan menarik minat ramai untuk mereka menghargai setiap kesenian yang ada di Malaysia.

“Kita pernah mengadakan persembahan gendang ini di mana kita menggabungkan elemen pergendangan (pelbagai kaum), kita jadikan mereka satu persembahan khas dan mendapat sambutan khalayak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Norazlin berkata persembahan seumpama itu juga memberikan ruang kepada pemain untuk saling mempelajari dan mendalami seni warisan pelbagai kaum di negara ini yang masing-masing mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

“Untuk mereka terus aktif dalam memperkayakan persembahan yang melibatkan pergendangan ini, JKKN selalunya kita akan ada kolaborasi dengan NGO (badan bukan kerajaan) dan kita akan menjadikan tempat ini (Auditorium) Kompleks JKKN Perlis sebagai lokasi untuk mereka mengadakan latihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Hadrah Sri Pauh, Bakar Muhammad, 75, berkata pertemuan pelbagai kaum menerusi persembahan gabungan gendang itu membolehkan beliau serta ahli kumpulan itu mengenali lebih dekat budaya kaum lain di negara ini.

“Sudah banyak kali pertemuan pelbagai kaum ini (semasa persembahan gendang), Alhamdulillah, satu pergaulan yang baik terutama sekali dalam negara dan juga kebudayaan, kita boleh tahu tentang budaya Cina, India, Siam, begitu juga mereka boleh tahu macam mana budaya kita.

“Apabila dipanggil (buat persembahan gendang) kita akan bersama...saya harap seni persembahan gabungan gendang pelbagai kaum ini diperbanyakkan, jangan bagi kehilangan, kaum bercampuran yang mesti ada perpaduan, perpaduan itu penting kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, wakil Persatuan Tarian Singa Behor Temak Yeoh Soon Hui, 24, berkata peluang berkumpul mengadakan persembahan gendang bersekali dengan tarian singa memberi peluang buat mereka menjalin persahabatan dengan kawan-kawan pelbagai kaum, selain mempelajari warisan seni mereka.

“Saya sangat gembiralah bila dapat peluang ini, sangat hargai dan bergabung dengan kaum lain yang mana boleh tahu tentang gendang Melayu, Siam, semua, macam mana cara main...kami pernah sertai persembahan atas jemputan JKKN...dapat kenal kawan-kawan dan boleh belajar sesuatu,” katanya.

Sementara itu, wakil Persatuan Kesenian Gendang India Kedah/Perlis K. Mahendran, 32, berpandangan gabungan gendang melalui persembahan sedemikian mewujudkan rasa kesamarataan dan semangat kekitaan antara berbilang kaum.

“Saya sangat gembira boleh sertai dengan pelbagai kaum, dapat kenal satu sama lain, rasa kami sama, satu Malaysia, kita jadi satu keluarga, kami mampu campur sekali, gabung main gendang sekali dalam satu persembahan boleh selari, kami biasa main sekali,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Kebudayaan Siam Perlis Sharawie a/l Jom, 20, berkata seni persembahan gendang itu membuka ruang kepada ahli persatuan mengenali kawan berlainan kaum sekali gus menimbulkan perasaan ingin menghargai satu sama lain.

“...dapat kenal budaya dan seni warisan mereka, kami pernah sertai persembahan gendang bersama ini dan mengharapkan program persembahan seperti ini diadakan banyak lagi ke depan nanti,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan